Dua pekerja syarikat keselamatan ditahan pecah amanah

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Dua pekerja di sebuah syarikat keselamatan ditahan kerana disyaki melakukan pecah amanah wang syarikat sebanyak RM12,000 semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan di bangunan syarikat berkenaan pada jam 2.50 pagi.

"Tangkapan itu dibuat hasil laporan daripada seorang pegawai operasi syarikat yang memaklumkan kehilangan wang berjumlah RM10,000 di unit pemprosesan tunai syarikat itu pada jam 2.21 pagi," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nik Ezanee berkata, pegawai berkenaan menyedari kejadian itu semasa proses pemindahan bungkusan plastik berisi wang dari bilik kebal ke unit pemprosesan wang.

"Pegawai berkenaan mendapati kesan koyakan pada beg tersebut sebelum mengira wang yang telah berkurangan sebanyak RM10,000 daripada jumlah keseluruhan RM203,200," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua pekerja yang sedang bertugas di bilik kebal dipercayai mengambil wang itu.

"Selain itu, rakaman CCTV juga menunjukkan kedua-dua suspek turut melakukan pecah amanah dengan mengambil wang kutipan pelanggan sebanyak RM2,000 dari sebuah syarikat lain," katanya.

Nik Ezanee berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan," katanya.