Dua maut kenderaan bertembung

Keadaan kenderaan sejurus selepas kemalangan.
Keadaan kenderaan sejurus selepas kemalangan.
A
A
A

KUANTAN - Dua maut dalam satu kejadian kemalangan membabitkan sebuah Toyota Fortuner dan Proton Wira di Kilometer (KM) 67 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu mangsa yang maut ialah pemandu Toyota Fortuner, Muhammad Syauqi Azmi, 32, dari Alor Setar, Kedah dan penumpang kenderaan sama; Ahmad Azhar Abdul Wahab, 58 dari Raub, di sini.

Kedua-dua mereka dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Wira, Ahmad Syahiran Mohamad, 26, dari Pekan terselamat namun luka lengan kanan dan belakang badan.

Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati Allahyarham Muhammad Syauqi dan Allahyarham Ahmad Azhar dalam perjalanan dari Johor Baharu menghala ke Kuantan manakala Ahmad Syahuran pula dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Runchang, Pekan.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai Ahmad Syahiran gagal mengawal kenderaan lalu bertembung dengan kenderaan Muhammad Syauqi yang datang dari arah hadapan.

"Selepas perlanggaran Fortuner berpusing beberapa kali dan terbabas ke kanan jalan laluan menghala ke Segamat. Akibat kemalangan pemandu dan penumpang Fortuner meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan media, pagi tadi.

Mohd Razli berkata, jenazah mangsa yang maut akan menjalani proses bedah siasat hari ini di Hospital Pekan.

Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan: