Kaji cadangan wujud lebuh raya air

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen baru-baru ini, beliau ada mencadangkan supaya sebuah lebuh raya air diwujudkan untuk menyelesaikan masalah air di Malaysia.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen baru-baru ini, beliau ada mencadangkan supaya sebuah lebuh raya air diwujudkan untuk menyelesaikan masalah air di Malaysia.
A
A
A

SEORANG sahabat saya letak satu mesej dalam Facebook mengatakan dia terpaksa lari balik kampung gara-gara tidak ada air di Selangor pada 3 September lalu.

Kalau dilihat dari sisi positif, sahabat saya itu bukan sahaja berpeluang untuk menjengah sanak saudara di kampung malah dapat berehat seketika daripada kesibukan bekerja di ibu kota.

Bagaimanapun, kisah sahabat saya itu cuma satu daripada lima juta orang yang terjejas disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan Rantau Panjang tidak dapat berfungsi kerana masalah sungai tercemar.

Ini belum masuk lagi cerita wanita mengandung, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas terpaksa turun naik rumah bertingkat bagi mengangkut air ke rumah mereka.

Memang ramai yang marah dan naik darah kerana isu air yang tidak berkesudahan di Selangor kerana masalah yang berlaku itu bukan sekali dua tetapi sudah banyak kali.

Kalau bukan kerana pencemaran, tentu ada masalah lain yang berlaku sehingga menyebabkan bekalan air terputus.

Keadaan itu turut mendapat perhatian daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dukacita dengan apa yang berlaku.

Baginda bertitah, tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil bagi memastikan rumah serta kilang terutama kilang haram berhampiran tebing sungai dirobohkan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, baginda mahu undang-undang lebih tegas dilaksanakan segera terhadap pencemar sungai dengan penalti lebih berat dikenakan termasuk terhadap pencemar alam sekitar khususnya sumber air dan mereka yang terbukti bersalah perlu dihukum penjara mandatori serta denda maksimum.

Jadi keutamaan

Sebagai sebuah negeri yang makmur dari segi ekonomi, sudah tentu masalah air perlu menjadi keutamaan oleh kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan.

Masalahnya, bukan rakyat sahaja yang sengsara, malah golongan peniaga dan pemilik perniagaan juga mengalami kerugian yang besar.

Secara keseluruhan jumlah pendapatan setahun yang diperoleh daripada industri air adalah sebanyak RM5 hingga RM6 bilion bagi seluruh negara.

Di Selangor pula, pada tahun 2017, jumlah pendapatan sekitar RM2.2 bilion dan pada tahun 2018 pula mencatatkan sebanyak RM2.1 bilion.

Masalah air memang tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh dipolitikkan oleh pembangkang yang sentiasa mencari kelemahan kerajaan.

Jadi, kerajaan negeri dan kementerian yang bertanggungjawab perlu mengemukakan pelan jangka panjang dan jangka pendek bagi menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Jangan ada lagi alasan kilang-kilang atau penempatan haram di kawasan berhampiran dengan sungai dibiarkan terus wujud dan menjadi punca pencemaran air.

Walaupun isu gangguan air sekarang memang sedang hangat di Selangor tetapi kita juga jangan lupa di negeri-negeri lain juga ada masalah yang sama.

Sebagai contoh, Kelantan berhadapan dengan kualiti air yang teruk sehingga mendapat bermacam-macam gelaran yang diberikan kepada air di negeri tersebut seperti air teh tarik, air nescafe dan air karat.

Di Malaysia ada beberapa negeri berhadapan dengan masalah air tetapi ada negeri sangat mewah dengan air dan mempunyai bekalan yang sangat banyak.

Dalam pertemuan saya dengan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen baru-baru ini, beliau ada mencadangkan supaya sebuah lebuh raya air diwujudkan untuk menyelesaikan masalah air di Malaysia.

Idea beliau memang menarik dan boleh dilaksanakan tetapi ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan terutama dari segi kos dan perundangan.

Jadi sudah sampai masanya untuk kerajaan memikirkan dengan teliti cadangan yang dikemukakan oleh Tuan Ibrahim.

Jika cadangan tersebut boleh menyelesaikan masalah air, saya yakin seluruh rakyat akan menyokong penuh pembinaan lebuh raya air itu nanti.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian