Abam sebelah mata tawan hati juri

Abam bersama sjil dan lencana yang diungguli pada pertandingan Cat Fancier's Assocation (CFA) International Division Award 2020 baru-baru ini.
Abam bersama sjil dan lencana yang diungguli pada pertandingan Cat Fancier's Assocation (CFA) International Division Award 2020 baru-baru ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seekor kucing yang dikutip di Pasar Alor Gajah di sini dengan keadaan mata yang tersembul dan berdarah sejak lapan tahun lalu bakal menempa nama di mata dunia.

Kucing jantan berusia lapan tahun yang dinamakan Abam Ungkalicious oleh pemiliknya, Rozita Haron, 50, membuktikan biarpun cacat sebelah mata kanan, namun kucing kampung itu berjaya mengungguli anugerah di tangga kedua dalam pertandingan Cat Fancier's Assocation (CFA) International Division Award 2020, baru-baru ini.

Rozita yang juga ibu kepada dua orang anak berkata, si bulus yang mesra dipanggil Abam kerana keadaan fizikalnya yang montel dan gebu menandingi kucing dari beberapa negeri dalam kategori 'Household Pet' yang diadili juri profesional seluruh dunia.

Menurutnya, kucing jalanan yang dibawa pulang itu dianggap rezeki yang tidak disangka dan berjaya mencipta kejayaan biarpun hanya memiliki sebelah mata sahaja.

"Dalam pertandingan liga itu Abam dipilih sebagai pemenang tempat kedua selepas memperoleh mata sebanyak 465.40 mata dan hampir mengalahkan juara pertama pertandingan yang memperoleh 466.45 mata.

"Abam antara 'top 10' menerusi beberapa peringkat liga pertandingan yang diadakan di lima buah lokasi seperti di Terengganu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Putrajaya dan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui di kedai haiwan peliharaannya di Pusat Perniagaan Jelatang di sini hari ini.

Rozita bersama Abam yang membawa tuah kepada keluarganya.
Rozita bersama Abam yang membawa tuah kepada keluarganya.

Mengimbau detik pertemuan Rozita bersama Abam, wanita pencinta haiwan itu berkata, Abam yang ketika itu berusia dua bulan mengalami sakit mata kronik hingga menyebabkan matanya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa menjalani pembedahan.

Artikel Berkaitan:

"Saya membawanya mendapatkan rawatan doktor dan ketika itu doktor mengesahkan matanya perlu dibuang disebabkan jangkitan kuman pada mata yang terlalu lama.

"Doktor beritahu pembedahan yang dilakukan bakal memberi risiko kepada nyawa Abam, namun saya tawakal dan nekad untuk teruskan pembedahan biarpun terpaksa berhabis ratusan ringgit," katanya.

Katanya, tindakan mendaftarkan kucing kurang upaya seperti Abam untuk bertanding di peringkat antarabangsa kerana mahu memberi inspirasi kepada orang ramai dan pencinta kucing.

"Saya harap orang ramai tidak memandang rendah kucing serba kekurangan dan yakin setiap bergelar makhluk ALLAH SWT mempunyai kelebihan tersendiri.

"Harapan saya Abam berjaya ke peringkat seterusnya, namun disebabkan kos agak tinggi untuk menyertai pertandingan luar negara, jadi kami masih berkira-kira untuk mendaftar atau sebaliknya," katanya.