Malaysia catat RM63.7 bilion pendapatan eksport produk komoditi

Mohd Khairuddin (depan, dua dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini. - Foto Brenama
Mohd Khairuddin (depan, dua dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini. - Foto Brenama
A
A
A

PUTRAJAYA - Eksport produk komoditi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini mencatatkan pendapatan sebanyak RM63.7 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, nilai eksport komoditi mencatatkan kenaikan 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019.

"Peningkatan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan faktor lonjakan dalam eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dan sarung tangan getah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), perhimpunan bulanan kementerian yang pertama diadakan sejak Covid-19 di sini hari ini.

Menurutnya, nilai eksport produk sawit menokok 3.2 peratus kepada RM33 bilion berbanding enam bulan pertama tahun lalu, manakala eksport produk getah bertambah 18.3 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 dengan nilai eksport sebanyak RM17.8 bilion.

"Walaupun nilai eksport mengalami peningkatan, kuantiti eksport produk agrikomoditi menunjukkan penurunan seperti eksport produk sawit telah merosot 12.3 peratus kepada 12.1 juta tan.

"Pada suku kedua tahun ini, aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi turut menyumbang sebanyak 7.1 peratus atau RM20.6 bilion kepada jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, sektor agrikomoditi mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM82 bilion pada tempoh enam bulan pertama, manakala imbangan dagangan berjumlah RM45.5 bilion.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairuddin berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini. - FOTO: BERNAMA
Mohd Khairuddin berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini. - FOTO: BERNAMA

"Semasa penularan Covid-19 pada Mac lalu, kerajaan mengambil langkah untuk menyokong industri komoditi menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

"Bagi meningkatkan eksport dan daya saing produk sawit, kerajaan telah mengecualikan 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai lalu hingga 31 Disember ini, dan jumlah kuantum pengecualian yang diberikan adalah sebanyak RM200 juta," katanya.

Katanya, bagi menyokong produktiviti agrikomoditi melalui Prihatin, peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta diluluskan Kementerian Kewangan pada 27 Mac lalu bagi melaksanakan projek Bantuan Input Pertanian Pekebun Kecil di bawah Sektor Perladangan dan Agrikomoditi pada 2020.

"Peruntukan tambahan sekali sahaja itu diberikan kepada pekebun kecil lada iaitu sebanyak RM16.11 juta, sektor koko RM2.69 juta dan sektor kenaf RM1.2 juta," katanya. - Bernama