Ir Khairil Nizam dilantik atas kelayakan: MB Kedah

Khairil Nizam Khirudin
Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan pelantikan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bina Darulaman Berhad (BDB) berkuatkuasa 6 September lalu atas kapasiti lantikan politik.

Beliau menjelaskan, pelantikan berkenaan berdasarkan kelayakan dan pengalaman dimiliki Khairil Nizam.

Menurutnya, kepakaran dimiliki Khairil Nizam bertepatan dengan kehendak GLC Kedah di mana beliau antara lima individu dalam negara yang memiliki kepakaran seumpama dalam bidang keselamatan minyak dan gas.

“Saya lantik beliau bukan atas kapasiti parti, sebaliknya atas profesionalisme dimiliki beliau.

"Kemahiran yang beliau miliki, rugilah kalau disia-siakan dan tidak digunakan. Individu yang hebat tidak diberikan tempat sewajarnya hanya kerana ada jawatan dalam parti,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan tular berkaitan pelantikan Khairil Nizam yang disifatkan sebagai lantikan politik dalam GLC negeri itu.

“Ada ramai lagi individu hebat dalam Pas yang dikategorikan sebagai golongan profesionalisme belum diketengahkan.

"Kita bersedia beri ruang untuk mereka berkhidmat dalam anak syarikat untuk menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya tidak sewenang-wenangnya memilih pemimpin politik tanpa kemahiran, sebaliknya hanya individu yang layak diberikan peluang.

“Pas memiliki ramai jurutera, arkitek, profesor yang kita harus gunakan kepakaran mereka untuk menyumbang idea memakmurkan negeri,” katanya.