Dua peniaga pasar malam rasuah penguat kuasa ditahan

No Image Caption
A
A
A

KLUANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang hari ini menahan dua peniaga dipercayai memberi rasuah kepada seorang penguat kuasa di daerah ini.

Kedua-dua suspek yang berusia 37 dan 59 tahun itu merupakan peniaga di Pasar Awam Kluang ditahan pada jam 3.30 petang di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek memberi wang rasuah kepada Pembantu Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berjumlah RM500 dan RM1,000.

Wang itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan melanggar syarat lesen dengan menggajikan warga asing di Pasar Awam Kluang di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mana jumlah kadar kompaun bagi kesalahan tersebut adalah berjumlah RM1,000.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan: