Orang Asli pentingkan ekonomi, pendidikan

No Image Caption
A
A
A

LIPIS - Aspek ekonomi dan pendidikan menjadi tumpuan bagi masyarakat Orang Asli kerana mereka juga mahu seiring dengan kaum lain di negara ini.

Bagi mereka, pembangunan pesat tanpa penekanan kepada kedua-dua aspek itu tidak memberi sebarang makna kepada sistem sosial masyarakat.

Tinjauan Sinar Harian baru-baru ini mendapati, ramai Orang Asli yang meminta kerajaan memberi fokus kepada sistem yang lebih baik bagi meningkatkan pendapatan.

Pemintaan itu juga sebahagian besar daripada mereka adalah penoreh getah, petani dan mencari hasil hutan.

Bagi Ali Abd Malik, 44, majoriti masyarakat Orang Asli lebih selesa dengan kehidupan lama mereka dan menyifatkan pembangunan perlu dilaksanakan seiring dengan ekonomi serta pendidikan.

“Saya bekerja sebagai penoreh getah. Dengan harga getah tidak menentu sudah tentu pendapatan jatuh. Malah, kini ramai daripada kami mencari pekerjaan lain

“Jika ada pendidikan, sekurang-kurangnya dapatlah mereka mencari pekerjaan di tempat lain. Dalam masa yang sama, kanak-kanak ini perlu diberi lebih banyak kesedaran terhadap kepentingan pendidikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pantos, Pos Lanai di sini.

Dalam pada itu Ali menafikan dakwaan kononnya Orang Asli menolak pembangunan dan arus pemodenan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Siapa kata kami tolak pembangunan, pemodenan . Sebenarnya kami juga mahu perkara itu dilaksanakan kerana dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

"Tapi dalam tempoh sama tidak meminggirkan alam semula jadi yang selama ini sudah menjadi gaya hidup," katanya.

Sementara itu, Halimin Ahmad, 30, berkata, dia amat berharap lebih banyak pelajar Orang Asli mendapat peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

“Orang Asli mampu berjaya. Sebagai contoh Ahli Parlimen Cameron Highlands sendiri, Ramli Mohd Nor yang menjawat jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia.

“Itulah sebab mengapa pentingnya pendidikan. Selepas itu, barulah pembangunan,” jelasnya.