KFA terbuka jika ada mahu berhijrah

Muhammad Sanusi Md Nor - Foto KFA
Muhammad Sanusi Md Nor - Foto KFA
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersikap terbuka sekiranya pemain mahupun jurulatih dari pasukan Lang Merah berhasrat untuk berhijrah pada musim depan.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebagai pemain profesional dan memiliki kemahiran tinggi dalam bola sepak, mereka diberi pilihan memilih pasukan yang ingin mereka wakili.

Menurutnya, buat masa ini KFA akan menstruktur semula tangga gaji pemain dan kemungkinan jurulatih bagi mengimbangi beban kewangan yang diwarisi daripada pengurusan terdahulu.

“Ini negara demokrasi, siapa pun boleh pergi ke mana yang dia suka. Namun selagi kontrak bersama Kedah belum tamat, dia akan terus berkhidmat di sini. Apabila kontrak tamat, mereka bebas berkhidmat dalam pasukan yang mereka ingini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas kenyataan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang mengakui dirisik Perak yang mahu mendapatkan khidmatnya bagi memperkuatkan skuad tersebut pada musim depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aidil Sharin akui dirisik Perak

Aidil bagaimanapun menjelaskan keutamaannya sehingga kini adalah Kedah kerana masih mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, setakat ini KFA belum bersemuka dengan Aidil bagi membincangkan kontrak untuk bersama Lang Merah atau mendapatkan khidmat jurulatih baharu.

Artikel Berkaitan:

“Saya belum bincang dengan Aidil. Apa pun tukar atau kekal jurulatih adalah perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.

Aidil Sharin diikat oleh Lang Merah selama dua musim iaitu pada 2019 dan 2020, kehadirannya memberikan impak apabila berjaya membantu Lang Merah muncul Juara Piala FA dan melayakkan pasukan bersaing di Kelayakan Piala AFC 2020.

Ditanya sama ada KFA sudah mengikat beberapa pemain pilihan untuk musim depan, katanya, pihaknya sudah mendekati beberapa pemain dan pada masa sama mengesyorkan kemungkinan penstrukturan gaji sekiranya mereka kekal bersama Kedah.

“Saya ucap terima kasih kepada pemain yang sedia berbincang bab ini. Mereka yang boleh terima pengurangan gaji atau tangga gaji baru kelak, mungkin kekal dengan Lang Merah. Kita bersikap terbuka kerana kemungkinan bayaran tidak setimpal dengan kemahiran dimiliki, menyebabkan mereka pilih pasukan lain,” katanya.

Namun, Muhammad Sanusi berharap pemain yang merupakan anak kelahiran Kedah dapat menabur bakti di negeri ini.

“Tentulah harapan saya mahu anak Kedah yang hebat bermain untuk Lang Merah. Selain dapat pendapatan di negeri kelahiran, adalah lebih baik kita mencari makan di tempat sendiri. Ada yang berhijrah cari pengalaman luar, setahun dua mereka kembali. Taburlah budi di Kedah,” katanya.