Lantikan Muhyiddin satukan Bersatu Johor

 Tosrin Jarvantri
Tosrin Jarvantri
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor kelmarin dilihat mampu menyatupadukan parti itu di peringkat negeri.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tosrin Jarvantri berkata, pelantikan Muhyiddin juga tepat pada masanya terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Bersatu Bahagian Kulai itu berkata, pada masa sama lantikan tersebut memberikan aspirasi dan semangat baharu kepada ahli-ahli Bersatu Johor.

"Ia juga membuka ruang dan wadah kepada Bersatu Johor untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri Johor dalam konteks parti dan kerajaan," katanya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor itu berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar Johor di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin lantik Azmin, Zuraida ahli MPT Bersatu

Kelmarin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan mengumumkan beberapa lantikan baharu yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Hamzah memaklumkan, Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor menggantikan Mazlan Bujang.

Tosrin berkata, pelantikan Muhyiddin juga dilihat 'meredakan' dua kem di peringkat bahagian dalam Bersatu Johor yang dilihat mempunyai sedikit masalah sebelum ini.

"Ia juga memberi motivasi kepada ahli-ahli Bersatu Johor lebih-lebih lagi apabila sebahagian ahli-ahli PKR daripada kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mula masuk menjadi ahli Bersatu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun tidak menolak pembaharuan di peringkat kepimpinan negeri itu akan memberi cabaran baharu kepada Bersatu Johor.