X

Kindly register in order to view this article
!

Kuala Lumpur intai kejuaraan Piala Tun Abdul Razak

Megat D Shahriman Zaharudin
A
A

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (PHKL) memasang impian besar untuk meraih gelaran Piala Tun Abdul Razak yang ke-20 apabila edisi ke-58 saingan itu membuka tirai bermula 18 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, dengan pemilihan 18 pemain dijangka selesai dalam tempoh terdekat, pihaknya mahu barisan pemain menampilkan sikap selaku juara dan komitmen yang tinggi bagi mencapai misi tersebut.

“Pemilihan pemain akan dibuat berdasarkan pengalaman dan komitmen ditunjukkan pemain....tidak kiralah anda pemain bintang atau tidak. Seramai 32 pemain hadir untuk pemilihan awal termasuk beberapa pemain kebangsaan.

“Kita akan memilih pemain terdiri daripada pemain kebangsaan dan muda,” katanya yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MPM dan Persatuan Pergerakan Wanita (Awam) di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di sini hari ini.

Semalam, skuad kendalian S Selvaraju itu, yang menamatkan saingan Piala Tun Abdul Razak 2019 di tempat keempat, menumpaskan naib juara tahun lalu, Johor 3-2 pada aksi pemanas badan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kali terakhir skuad Kuala Lumpur muncul juara saingan piala tertua arena hoki negara itu adalah pada 2011 apabila mempertahankan gelaran dengan mengatasi Pahang 1-0 di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

Sementara itu, Megat turut memberi jaminan untuk membayar gaji selama tempoh 14 hari kuarantin kepada pemain, jika mereka dijangkiti wabak Covid-19 ketika berlangsungnya kejohanan itu.

“Kita (KLHA) buat garis panduan dan SOP (prosedur operasi standard) sendiri kerana pemain kita ada yang dari syarikat seperti Maybank dan Tenaga Nasional Berhad.

“Mereka (majikan) ambil berat mengenai hal ini, jadi kami bertanggungjawab untuk membayar gaji pemain jika mereka dijangkiti COVID-19. Pada masa sama, kita harap pihak penganjur juga bersedia dengan SOP berkaitan,” katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!