Cuepacs mahu bertemu PM bincang lima tuntutan

Adnan (depan,tengah) beramah mesra bersama penjawat awam yang juga penerima sijil penghargaan khidmat bakti sepanjang PKP di IPD Kota Bharu hari ini.
Adnan (depan,tengah) beramah mesra bersama penjawat awam yang juga penerima sijil penghargaan khidmat bakti sepanjang PKP di IPD Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhasrat bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan status lima tuntutan melibatkan kebajikan penjawat awam yang ditangguhkan berikutan perubahan kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, lima perkara berkenaan adalah kenaikan gaji tahunan, penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) selama 75 hari, Sara Hidup (Cola) sebanyak RM50, gaji tambahan kepada guru gred DG56 dan pemendekan kenaikan pangkat dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Menurutnya, pihaknya berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk membentangkan perkara itu agar lima tuntutan berkenaan dapat dilaksanakan segera.

“Perkara ini tertangguh berikutan perubahan kerajaan baru. Justeru, dirasakan tidak adil kepada kakitangan kerajaan kerana lima hal itu sudah diumumkan dulu.

“Kita berharap Perdana Menteri memberi kerjasama dan melaksanakan segera berhubung kerana perbincangan proses, justifikasi, peruntukkan dengan muktamad dan aturan pelaksanaan sudah dilakukan,” katanya.

Adnan (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua-ketua jabatan yang bertugas di negeri ini sepanjang PKP menentang pandemik Covid-19.
Adnan (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua-ketua jabatan yang bertugas di negeri ini sepanjang PKP menentang pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Kepada Barisan Hadapan Menangani Pandemik Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, ketua-ketua jabatan yang bertugas di negeri ini menerima sijil penghargaan terhadap khidmat bakti mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Adnan berkata, surat berhubung lima tuntutan tersebut sudah dihantar kepada Perdana Menteri pada Mac lalu, namun belum ada maklum balas.

‘Kami juga mohon kerajaan mempertimbangkan bayaran secara terus (one off) sebanyak RM50 kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak," katanya.