Kes harian positif Covid-19 menurun kepada 24

DR NOOR HISHAM. Foto: Bernama
DR NOOR HISHAM. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas mencatatkan tiga digit semalam, kes harian positif Covid-19 menurun kepada 24 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 9,583 kes.

"Jumlah kes aktif pula adalah 312," katanya.

Menurutnya, daripada 24 kes baharu, 18 adalah penularan dalam negara.

"Kes penularan dalam negara membabitkan 16 rakyat tempatan dan dua warga asing," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 16 kes positif Covid-19 dikesan di Kedah.

"13 kes adalah daripada Kluster Sungai manakala Kluster Telaga, Tawar dan saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah masing-masing satu kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Benteng LD yang merekodkan 62 kes semalam, hari ini hanya mencatatkan pertambahan dua kes.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini Kluster Benteng LD merekodkan 128 kes positif daripada 2,010 individu yang telah disaring di Tawau dan Lahad Datu," katanya.

Katanya, seramai tujuh pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

"Empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Kes kematian berkaitan Covid-19 kekal 128 kes selepas tiada kes baharu dilaporkan.

Sementara itu, tujuh pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,143 kes iaitu bersamaan 95.4 peratus jumlah keseluruhan kes," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 100 kes positif Covid-19 yang melibatkan 62 daripadanya adalah Kluster Benteng LD.