TRW letak harapan tinggi kepada Kraljevic

Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam semalam.- Foto Bernama
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) meletakkan harapan tinggi kepada Ketua Jurulatih baharu The Red Warriors (TRW) Marko Kraljevic bagi membantu pasukan itu kembali beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, jurulatih kelahiran Jerman itu mempunyai tanggungjawab besar bagi mencapai sasaran pihaknya merangkul trofi Piala Liga Premier musim ini, untuk menempatkan pasukan dalam Liga Super musim 2020.

"Kita sebagai majikan sudah tentu meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada mana-mana jurulatih yang menyertai pasukan bagi mengelakkan sejarah lalu tidak berulang yang menyebabkan kita kehilangan penyokong dan turun liga.

"Pemilihan ketua jurulatih bukan mudah kepada kami, oleh itu Marko perlu menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk menyempurnakan tanggungjawab dan kepercayaan yang disandarkan kepadanya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam semalam.

Kehadiran Marko yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama KAFA menjawab teka-teki bagi jawatan utama tersebut selepas persatuan itu gagal mengekalkan khidmat jurulatih musim lalu, Yusri Che Lah.

Mengulas mengenai pemilihan pemain pula, Bibi Ramjani berkata KAFA kini hampir melengkapkan kouta pemain bagi mengalas tanggungjawab pasukan musim ini.

"Kita hanya tinggal seorang lagi pemain import bagi memenuhi empat kouta pemain import dan akan menandatangani seorang lagi pemain asing dalam masa terdekat. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia