RM1.67 bilion diskaun elektrik diberi setakat 31 Ogos

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd memberi diskaun ke atas bil elektrik berjumlah RM1.67 bilion kepada kira-kira tujuh juta pengguna domestik sehingga 31 Ogos lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah diskaun itu, sebanyak 83 peratus telah dimanfaatkan oleh pengguna domestik.

"Bagi sektor komersial pula sebanyak RM181.7 juta diskaun bil elektrik yang meliputi 17 peratus daripada jumlah keseluruhan diberikan kepada 1.4 juta syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Laksana ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin dan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (Penjana) yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, jumlah pengeluaran kumulatif antara April sehingga Ogos 2020 di bawah Skim i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan sebanyak RM7.54 bilion berbanding RM7.48 bilion yang dikeluarkan.

"Pengeluaran tersebut melibatkan 4.59 juta penerima berbanding 4.57 juta penerima pada minggu lalu.

"Setakat 28 Ogos pula sejumlah RM10.3 bilion permohonan bagi dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) diluluskan bank tempatan dan disetujui PKS.

"Jumlah permohonan tersebut meningkat daripada RM10.2 bilion yang dicatatkan minggu lalu dan akan memberi manfaat kepada 22,440 PKS berbanding 22,322 PKS pada minggu sebelumnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi pembiayaan skim PKS Penjana, beliau berkata, sebanyak 1,615 permohonan yang melibatkan RM426.2 juta jumlah dana disalurkan setakat 28 Ogos berbanding 1,172 permohonan (RM329.5 juta) di catatkan sehingga 21 Ogos.

"Pemberian tunai secara one-off (sekali) seperti Bantuan Prihatin Nasional, bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan dan lain-lain melibatkan pembayaran sebanyak RM14.7 bilion setakat 28 Ogos.

“Tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 94 peratus,” katanya.

Katanya, bagi inisiatif yang melibatkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium, Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP KSWP) dan lain-lain pula melibatkan nilai sebanyak RM92.3 bilion.

"Pelaksanaan inisiatif tersebut adalah pada tahap 73 peratus," katanya. - Bernama