Jawatan Exco Pulau Pinang dirombak

CHOW KON YEOW
CHOW KON YEOW
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang semalam mengumumkan rombakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi menghadapi cabaran baharu berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penyusunan dan penjenamaan semula portfolio Exco itu adalah untuk memastikan jentera pentadbiran kerajaan dapat berfungsi dengan lebih cekap dalam keadaan Covid-19 ini.

Menurutnya, justifikasi bagi penyusunan dan penjenamaan semula portfolio ini adalah berikutan fokus kerajaan negeri terhadap pemulihan serta peningkatan ekonomi pasca-Covid-19.

“Beberapa portfolio digabungkan dan dijenamakan semula, beberapa portfolio lain diganti untuk menonjolkan fokus barunya, sementara beberapa portfolio lagi telah dipindahkan dalam proses penggabungan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Tambahnya, penyusunan dan penjenamaan semula separuh penggal itu akan berkuatkuasa 15 September ini.

Beliau berkata, beberapa portfolio baharu turut dibentuk seperti portfolio Pembangunan Tanah dan Ekonomi, Ekonomi Kreatif dan Agroteknologi dan Keselamatan Makanan.

Kon Yeow menerangkan bahawa portfolio beliau yang sebelum ini dikenali sebagai Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah akan dijenama semula sebagai Pembangunan Tanah dan Ekonomi.

“Saya akan memegang jawatan Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan juga Komunikasi manakala portfolio Pengangkutan yang saya pegang sebelum ini akan diberikan kepada Zairil Khir Johari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, empat Exco akan kekal dengan jawatan mereka, hanya nama portfolio ditukar untuk menanggung tanggungjawab yang lebih luas.

Berikut adalah portfolio Exco baharu Pulau Pinang yang akan berkuat kuasa Selasa depan:

Ketua Menteri Chow Kon Yeow: Pembangunan Tanah dan Ekonomi, Komunikasi.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman: Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Timbalan Ketua Menteri II Profesor Dr P Ramasamy: Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains dan Teknologi.

Chong Eng: Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Jagdeep Singeh Deo: Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa.

Phee Boon Poh: Alam Sekitar dan Kebajikan.

Zairil Khir Johari: Pengangkutan dan Infrastruktur.

Datuk Abdul Halim Hussain: Perdagangan dan Industri dan Pembangunan Keusahawanan.

Yeoh Soon Hin: Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.

Soon Lip Chee: Belia dan Sukan.

Dr Norlela Ariffin: Pembangunan Luar Bandar, Kesihatan dan Agroteknologi dan Keselamatan Makanan. - Bernama