Undi Speaker DUN Johor penentu jika undi usul tidak percaya seri

Suhaizan (kanan) dan Perdana Menteri,Tan Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir.
Suhaizan (kanan) dan Perdana Menteri,Tan Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Undi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan menjadi penentu sekiranya ada usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Menteri Besar dengan jumlah undi diterima adalah seri 28-28.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor dikemukakan pada persidangan DUN Johor esok.

Menurutnya, walaupun usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar tiada dalam senarai lima usul dibahaskan pada sidang DUN Johor esok, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masih boleh mengutarakan usul itu.

Beliau berkata, setakat ini lima usul yang akan dibentang dalam sidang DUN ialah pakej rangsangan ekonomi, pelantikan jawatankuasa dewan, pelantikan Ahli Dewan Negara, bajet tambahan dan pengurangan cukai tanah.

"Memang usul undi tidak percaya tiada dalam antara lima usul untuk sidang kali ini, namun usul itu terpulang kepada mana- mana 56 ADUN untuk berbuat demikian pada bila-bila masa.

"ADUN boleh kemukakannya ketika sidang, tetapi speaker berhak terima usul itu atau tidak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PH usul undi tidak percaya MB jika gugat Speaker DUN

Suhaizan turut memberi gambaran tiga keadaan selepas sesi pengundian dilakukan terhadap usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar diterima.

Artikel Berkaitan:

"Pertama, jika undi seri iaitu 28-28, maka Speaker boleh menjadikan undi penentu terhadap usul tersebut sama ada ingin menyokong atau menolak.

"Kedua, jika kerajaan mempunyai kelebihan satu undi atau 28-27 dan ketiga jika ada seorang ADUN memilih untuk berkecuali, ia tidak akan menjadi masalah," katanya.

Beliau berkata, sekiranya usul undi berkenaan memperoleh sokongan, maka perkara itu terserah kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk tindakan seterusnya.

"Pada pandangan saya, Menteri Besar boleh memilih dua pilihan iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk pembubaran DUN. Semuanya terpulang kepada Menteri Besar," katanya.

Sidang DUN Johor selama dua hari dijadual pada esok dan Ahad depan menjadi tumpuan kerana pelbagai desas- desus timbul termasuk kemungkinan kewujudan ADUN Bebas berikutan tindakan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada PRK Slim baru- baru ini.

Kedudukan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN) tipis di mana PN memiliki 29 kerusi manakala pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan kerusi bagi PN iaitu UMNO (14) Bersatu (12), MIC (2) dan Pas (1), manakala PH terdiri daripada DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4).

Seandainya terdapat seorang ADUN beralih arah kepada pembangkang, kedudukan DUN Johor akan tergantung di mana PN dan PH memiliki jumlah kerusi DUN yang sama iaitu 28- 28.

Mengulas lanjut, Suhaizan meminta 56 ADUN yang akan bersidang kali ini supaya menjaga tatatertib bagi membolehkan sidang DUN berjalan lancar.

"Ketertiban dalam dewan cukup penting supaya ia dapat dibincangkan dengan elok dan diputuskan dengan baik

"Mengambil kira masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal tetap akan digunakan dalam sidang DUN kali ini," katanya.

Suhaizan turut menyifatkan sidang DUN kali ini cukup istimewa kepada dirinya kerana beliau masih lagi menggalas tanggungjawab Speaker DUN walaupun kerajaan negeri bertukar tampuk pemerintahan pada Mac lalu.

Lebih menarik lagi, beliau telah menjadi Speaker DUN untuk tiga Menteri Besar dalam tempoh dua tahun selepas memegang jawatan itu setelah Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).