118 berhibur di kelab malam ditahan

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 118 individu yang leka berhibur di kelab malam dan pub ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan itu adalah jumlah tertinggi daripada 221 individu yang ditahan semalam kerana ingkar PKPP.

“Daripada jumlah itu, 212 individu dikompaun, lapan direman dan seorang individu dijamin,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP di sini hari ini.

Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (34), tidak mematuhi penjarakan fizikal (43), tidak memakai pelitup muka (18), gagal mematuhi perintah kuarantin (1), premis beroperasi lebih masa (5), serta tangkapan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) seramai dua orang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 24 tangkapan melibatkan 61 PATI dan lima tekong dibuat melalui Operasi Benteng semalam.

"Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 26 PATI manakala di Bukit Kayu Hitam, Kedah, 12 migran ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di bandar Penawar, Johor.

“Polis Diraja Malaysia melalui Sekatan Jalan Raya Op Benteng pula memeriksa 24,972 kenderaan dan membuat 11 tangkapan,” katanya.

Memperincikan mengenai kepulangan rakyat Malaysia ke negara ini Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, 25,688 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua mereka yang pulang dari 32 negara ditempatkan di 70 hotel dan lapan Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta seluruh negara.

"Sejak 30 Mac kerajaan melakukan 9,883 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon di seluruh negara," katanya. - Bernama