Rosmah arah tubuh cybertroopers dengan dana RM100,000 sebulan

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir untuk sambung perbicaraan kes rasuahnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto- Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir untuk sambung perbicaraan kes rasuahnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto- Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ke 21 perbicaraan kes solar hibrid, Datuk Rizal Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor telah mengarahkan beliau menubuhkan satu pasukan cybertroopers dengan dana RM100,000 setiap bulan.

Wang terbabit dibayar kepada pasukan itu secara tunai yang diberikan oleh Rosmah sendiri.

Rizal yang juga merupakan Pegawai Khas Rosmah berkata, pasukan itu yang ditubuhkan pada 2012 di bawah tanggungjawabnya dan beliau perlu memantau kandungan media sosial yang kritikal atau memberikan persepsi negatif terhadap Rosmah.

Antara berita negatif yang pernah tular dan perlu ditangani adalah isu memiliki beg tangan mahal, isu perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuan beliau yang terlampau tinggi, isu keperluan untuk berjumpa beliau untuk dapatkan projek kerajaan, isu mempunyai kepentingan kewangan dalam projek kerajaan, isu beliau merupakan 'bos' kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan isu salah guna jet kerajaan dan pelbagai lagi.

Menurut Rizal, sebagai Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri ketika itu yang juga bertugas di bawah bahagian khas First Lady Of Malaysia (F. L. O. M), beliau juga turut menguruskan hal ehwal Rosmah dan sudah sedia maklum dengan kehendak Rosmah yang sentiasa merancang dan mengatur liputan media untuk dirinya.

Rizal berkata, liputan media itu yang dikehendaki Rosmah bukan sahaja terhad terhadap kebajikan sahaja malah untuk semua aktiviti yang menambah populariti dan meningkatkan imej beliau sebagai isteri Perdana Menteri di mata orang ramai.

Rizal berkata demikian dalam pernyataan saksi yang dibacakannya di Mahkamah Tinggi hari ini.

Menurut Rizal, di bawah bahagian F.L.O.M dia dan badan itu perlu menguruskan dan memastikan publisiti sentiasa dibuat untuk Rosmah.

Artikel Berkaitan:

"Datin sering menghubungi saya bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai berita terhadap beliau dan serba sedikit mengenai kedudukan politik semasa.

"Beliau (Rosmah) juga sering menjadikan saya sebagai rujukan," kata Rizal lagi ketika membaca pernyataan saksinya.

Menurut Rizal, sepanjang kerjayanya di Bahagian F. L. O.M, dia mendapati setiap agensi sangat menghormati bahagian itu.

"Sebab utamanya adalah kerana gandingan kedudukan serta reputasi Datin sendiri dan Datuk Seri Azizah Abod yang merupakan Pengarah Bahagian F. L. O. M.

"Datin dilihat oleh agensi-agensi kerajaan sebagai isteri Perdana Menteri yang berpengaruh manakala Datuk Seri Azizah Abod terkenal dengan ketegasannya di kalangan pegawai-pegawai kerajaan.

"Pegawai-pegawai kerajaan akan sentiasa cuba untuk memuaskan dan memenangi hati Datin dan sentiasa merasa keberatan menolak kehendak dan permintaan F. L. O. M dan akan berusaha penuhi permintaan Datin hingga berjaya," kata Rizal ketika membaca pernyataan saksinya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin ini.