PDRM pertimbang siasat kes Sungai Gong di bawah Akta SOSMA

Abdul Hamid Bador pada sidang media selepas majlis serah terima tugas pengarah jabatan di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di Cheras hari ini. Foto: Bernama
Abdul Hamid Bador pada sidang media selepas majlis serah terima tugas pengarah jabatan di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di Cheras hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan kes pencemaran alam sekitar di Sungai Gong, sebagai jenayah terancang yang membolehkan ia disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya giat menyiasat kes itu daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan wujud perbuatan sabotaj pihak tertentu.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dan agensi termasuk Jabatan Peguam Negara kelmarin. Ada beberapa arahan dikeluarkan dan memerlukan polis memenuhi tuntutan itu.

"Ada cadangan supaya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mengenakan hukuman yang lebih berat membabitkan dalang kes ini. Kita mempertimbangkan kes disiasat mengikut SOSMA," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas berhubung cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air akan menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar, Abdul Hamid berkata, pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan dan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Sekiranya ia diluluskan, saya memohon untuk pertambahan jawatan, kita tidak ada masalah memikul tanggungjawab itu," katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya kini memberikan komitmen bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membanteras kes penyeludupan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menjalankan tugas mencegah penyeludupan ia membabitkan ramai warga PDRM dan beban tugas bertambah," katanya.