SPRM reman dua Datuk buat tuntutan palsu RM800 juta

Dua pengarah syarikat bergelar Datuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk direman bagi membantu siasatan kes rasuah dan tuntutan palsu 10 projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak bernilai lebih RM800 juta. - Foto Bernama
Dua pengarah syarikat bergelar Datuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk direman bagi membantu siasatan kes rasuah dan tuntutan palsu 10 projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak bernilai lebih RM800 juta. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Dua individu bergelar Datuk direman untuk membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM800 juta melibatkan projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.

Perintah reman selama dua hari bermula hari ini terhadap kedua-dua individu berumur 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Zubaidah Sharkawi selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, S Thangavelu memohon reman selama tujuh hari namun Zubaidah hanya membenarkan selama dua hari.

Kedua-dua individu itu diwakili empat peguam iaitu Shankar Ram, Albert Tang Yew Liong, Lim Heng Choo dan Alan Law.

Kedua-duanya yang merupakan rakan kongsi dan pengarah sebuah syarikat ditahan dalam operasi khas SPRM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan di sini semalam.

Menurut sumber, tuntutan itu membabitkan pelaksanaan 10 projek jalan negeri di pedalaman Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM800 juta.

Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dikenali sebagai Projek Jiwa Murni di bawah kementerian berkenaan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu sejak tahun 2010 hingga 2016.

Daerah dan kawasan yang terbabit dengan projek itu adalah di Miri, Kapit, Ba'kelalan, Limbang dan Belaga. - Bernama

Artikel Berkaitan: