Polis nafi buat sekatan, tutup jalan di Alor Setar

Hasanuddin ketika bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Hasanuddin ketika bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah menafikan ada melakukan sekatan dan penutupan jalan di kawasan Alor Setar seperti yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tiada laluan ditutup ataupun sekatan jalan raya dilaksanakan polis di sekitar bandar raya buat masa ini.

"Orang ramai digesa supaya tidak panik dengan penyebaran berita palsu itu.

"Polis memang tidak melakukan sekatan dan penutupan jalan di daerah ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mesej yang tersebar di aplikasi WhatsApp dan Facebook berkaitan penutupan jalan di kawasan Alor Setar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, maklumat penutupan jalan yang tersebar di media sosial adalah informasi lama ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu.

Sejak semalam, tular mesej berkaitan penutupan jalan di kawasan Alor Setar selepas 22 kes baharu dicatatkan di Kedah dan satu kes baharu di Perlis melibatkan Kluster Sungai.

Mesej memaklumkan penutupan jalan di kawasan Alor Setar seperti Simpang Kuala menghala pusat bandar, lampu isyarat simpang Kolej Sultan Abdul Hamid menghala ke pusat bandar, lampu isyarat Simpang Jalan Langgar ke Telok Wanjah, lampu isyarat Bakar Bata dan lampu isyarat Radin.

Artikel Berkaitan:

Empat laluan iaitu simpang dari Kuala Kedah ke Jalan Pegawai, Bulatan Stadium menghala ke pusat bandar, susur Jalan Langgar ke Jalan Telok Wanjah serta lampu isyarat AEON Big menghala pusat bandar diletakkan kon dan penghadang.