Makmal mini proses dadah diserbu

Hasanuddin (kiri) dan Adzli (kanan) menunjukkan sebahagian peralatan memproses dadah dirampas di sebuah rumah di Padang Temusu, Sungai Pasir, Sungai Petani kelmarin.
Hasanuddin (kiri) dan Adzli (kanan) menunjukkan sebahagian peralatan memproses dadah dirampas di sebuah rumah di Padang Temusu, Sungai Pasir, Sungai Petani kelmarin.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah membongkar kegiatan sebuah makmal mini memproses dadah dalam serbuan di rumah di Padang Temusu, Sungai Pasir, Sungai Petani petang kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, seorang lelaki berusia 50 tahun yang memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira jam 4 petang itu.

Beliau berkata, polis merampas sejumlah dadah, pelbagai jenis peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah jenis syabu dan sebuah kenderaan jenis Modenas.

"Ujian saringan air kencing terhadap lelaki yang tidak bekerja berkenaan didapati positif dadah jenis methampetamine dan morfin.

"Melalui siasatan, kita percaya dadah yang diproses di makmal mini di kawasan perumahan itu untuk kawasan berdekatan seperti Sungai Petani dan Pulau Pinang," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di IPK Kedah di sini hari ini.


Hasanuddin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah dirampas dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit Sungai Division, Sungai Petani Isnin lepas.
Hasanuddin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah dirampas dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit Sungai Division, Sungai Petani Isnin lepas.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata, lima lelaki berusia antara 21 hingga 36 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda lebih kurang jam 6.30 petang hari sama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penahanan lima lelaki berkenaan di kawasan ladang kelapa sawit Sungai Division, Sungai Petani di sini dipercayai ada kaitan dengan lelaki yang ditahan di rumah dijadikan makmal mini haram dadah.

"Susulan itu, kita merampas sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki lima lelaki berkenaan dan pelbagai dadah untuk tindakan lanjut," katanya.

Bagaimanapun, nilai rampasan tidak dapat dapat didedahkan.

Katanya, siasatan mendapati kelima-lima mereka memiliki rekod jenayah dan dadah dengan dua daripadanya turut positif dadah jenis ganja dan methampetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kesemua mereka direman bermula 8 hingga 14 September untuk siasatan lanjut," katanya.