SAM gesa buat 'pemutihan kilang' di kawasan sungai

Anggota polis memeriksa sebuah kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang.
Anggota polis memeriksa sebuah kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa negeri berkaitan pencemaran bertindak tegas dengan melakukan 'pemutihan' kilang-kilang dan binaan berhampiran sungai bagi memastikan kebersihan dan keselamatan sungai sebagai sumber air terpelihara.

Penyelidik Lapangan SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, bukan hanya di Selangor, malah pengezonan semula kilang-kilang dan binaan berhampiran sungai di setiap negeri perlu dilakukan supaya sisa buangan tidak lagi dialirkan terus ke sungai.

"Ia sebagai langkah pencegahan sebelum isu pencemaran di Sungai Selangor berulang.

"Dalam pada (menunggu) undang-undang dan peraturan sedia ada ditambah baik atau dipinda, sebenarnya agensi berkaitan masih boleh melakukan penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada dengan meminta mana-mana kilang yang melanggar syarat nyata kegunaan tanah seperti dalam geran hak milik memindah atau meroboh bangunan mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian gangguan bekalan air di Selangor beberapa hari lepas akibat pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang berpunca daripada aktiviti kilang berhampiran sumber air loji berkenaan.

Mengulas lanjut, Meor Razak berkata, tindakan penguatkuasaan ini boleh dilakukan di bawah Kanun Tanah Negara iaitu jika terdapat kilang atau industri yang melanggar syarat guna tanah dengan melakukan aktiviti di luar daripada syarat yang ditetapkan dalam geran masing-masing, premis mereka boleh dirobohkan.

Sebagai contoh katanya, pemilik geran yang syarat asalnya menggunakan tanah untuk industri, tetapi mengubah kilang menjadi bengkel dan menghasilkan sisa berupa minyak yang dibuang ke dalam sungai sekali gus menyebabkan pencemaran.

“Apabila pencemaran ini berlaku, agensi di peringkat Persekutuan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh mengambil tindakan apabila pihak-pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa buangan ke badan air daratan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)”.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan kenaikan denda daripada RM500,000 kepada RM1 juta adalah langkah yang baik, namun ia tidak cukup bagi menginsafkan golongan tamak haloba yang tidak pernah memikirkan kepentingan orang awam.

Peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula perlu diperkasa, bukan sekadar berperanan sebagai agensi pelaksana yang menguruskan badan air tetapi perlu diberi peranan sebagai agensi yang boleh menguat kuasa, katanya.

Ketika ini katanya, sekiranya berlaku kesalahan-kesalahan berkaitan penerokaan dan pencemaran sungai khususnya, JPS tidak boleh mengambil tindakan.

"Garis panduan Manual Pembangunan Pesisiran Sungai perlu dipertingkat supaya menjadi peruntukan undang-undang," katanya.

Meor Razak juga menegaskan penguatkuasaan yang dilihat lemah pada ketika ini perlu diperkasa bagi memastikan kilang-kilang yang mungkin bersifat 'bom jangka' yang boleh menyebabkan pencemaran pada bila-bila masa ini diurus dengan baik.

Sementara itu, dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, pakar kualiti air Dr Zaki Zainudin mendesak kerajaan negeri supaya mengeluarkan senarai industri berisiko dan tidak boleh berada di kawasan muka sauk (tempat mengambil air) untuk menjadi rujukan kepada semua agensi bagi mengelak pencemaran di kawasan sumber air.

Katanya, pihak berkuasa negeri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan air perlu mewujudkan senarai itu supaya ia boleh dijadikan sebagai satu perintah untuk agensi-agensi negeri dan Persekutuan.

Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementeriannya akan menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar dalam masa terdekat bagi menangani isu pencemaran. - Bernama