X

Kindly register in order to view this article
!

Beberapa perkara dalam video Asri Janggut tidak tepat: KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditemui dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas pengarah jabatan di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di Cheras hari ini.
 - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil siasatan dan laporan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) mendapati beberapa fakta tidak tepat menerusi video ditularkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, beliau telah meneliti laporan tersebut dan mendapati beberapa perkara dibangkitkan dalam video itu kurang tepat.

"Ibu Pejabat Polis (IPD) Sungai Buloh telah menjalankan penguatkuasaan kegiatan judi dengan giatnya, namun saya mendapati ada beberapa kelemahan dalam kalangan anggota.

ARTIKEL BERKAITAN: JIPS serah laporan aktiviti haram di Sungai Buloh kepada KPN

"Jika kelemahan itu di atasi, tindakan penguatkuasaan yang diambil akan lebih berkesan," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar juga didapati menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"JIPS telah menjalankan siasatan secara menyeluruh, jabatan itu berpuas hati, tidak ada anggota dan pegawai yang hidup mewah, memiliki kekayaan luar biasa atau diberikan ganjaran dan rasuah," katanya.

Sebelum ini, Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya dalam kenyataannya memaklumkan siasatan menyeluruh sudah dilakukan termasuk pemeriksaan pasukan siasatan JIPS di daerah berkenaan selama 10 hari.

Zamri berkata, tindakan IPD Sungai Buloh sangat komprehensif, sebanyak 447 serbuan dilakukan dengan merekodkan 665 individu ditahan atas kesalahan itu sejak tahun lalu.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid turut memaklumkan beberapa kesulitan yang dihadapai oleh warga polis di Sungai Buloh antaranya bangunan pejabat di situ bertaraf balai.

"Mereka bekerja dalam serba kekurangan dari segi fasiliti terutama membabitkan tempat kediaman.

"Hanya 11 pegawai dapat menduduki kuarters kediaman di kawasan berkenaan manakala yang lain tinggal di merata-rata tempat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!