Guna tandatangan digital dikawal Akta Tandatangan Digital 1997

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika hadir pada Persidangan Dewan Negara ke-18 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika hadir pada Persidangan Dewan Negara ke-18 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pemberi perkhidmatan yang menggunakan kemudahan internet digesa menggunakan tandatangan digital yang dikawal selia di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 dalam pengurusan syarikat mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan penggunaan sistem rangkaian syarikat berkenaan terdedah dengan ancaman siber.

‘’Kelebihan penggunaan tandatangan digital terserlah, ia boleh meningkatkan kecekapan pengurusan serta penyampaian perkhidmatan oleh mana-mana agensi sektor awam mahupun swasta tanpa perlu bersemuka.

“Sehubungan itu, agensi dan syarikat berkenaan digalak untuk menggunakan tandatangan digital yang dikawal selia oleh akta tandatangan digital,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Lim Pay Hen berhubung usaha kementerian dalam memperkukuh sistem siber termasuk tandatangan digital.

Zahidi berkata, penggunaan tandatangan digital itu dilihat lebih selamat kerana orang ramai atau pengguna yang ingin menggunakan tandatangan digital perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pemerakuan (PBP) untuk pengesahan identiti.

“Dengan menggunakan tandatangan digital, identiti seseorang pengguna telah ditentusahkan oleh PBP dan penerima dokumen yang ditandatangani dengan tandatangan digital boleh menggunakannya dengan yakin, selamat dan terjamin,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: