110 hektar tanah akan diwarta untuk nelayan darat

Abdul Yunus (kanan) menerima kertas cadangan Projek Perikanan Bandar daripada Zaki ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Abdul Yunus (kanan) menerima kertas cadangan Projek Perikanan Bandar daripada Zaki ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak telah mengenalpasti seluas 110 hektar kawasan kolam bekas lombong di dua daerah untuk diwartakan sebagai kawasan perairan umum untuk nelayan darat dan pembangunan akuakultur.

Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, kawasan kolam bekas lombong di daerah Kinta dan Kampar itu akan dibangunkan sebagai Projek Perikanan Bandar membabitkan peruntukan RM1.7 juta yang diluluskan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Negeri Perak (PRE2) seperti diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini.

Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan kos pembersihan bekas lombong, bekalan benih ikan, makanan ikan dan stok penyimpanan ikan yang akan memberi manfaat kepada 110 ketua isi rumah nelayan darat.

"Projek Perikanan Perikanan Bandar ini akan diusahakan oleh 11 komuniti nelayan setempat yang dipilih oleh Jabatan Perikanan Perak. Ia bertujuan bagi memenuhi permintaan ikan makan di kawasan bandar terutama di daerah Kinta yang mempunyai bilangan penduduk tertinggi.

"Saya akan mengangkat kertas cadangan ini kepada kerajaan negeri untuk diluluskan dalam masa terdekat agar ia dapat dilaksanakan segera dan kita jangkakan sebelum hujung tahun ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat G1, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri.

Abdul Yunus berkata, 11 kawasan kolam bekas lombong tersebut ialah Kampung Changkat Tin Tanjung Tualan seluas empat hektar, PPRT Changkat Tin Tanjung Tualang seluas lapan hektar, Taman Aman Kampar (16 hektar), RPA Malim Nawar Kampar (16 hektar), Makam Teja, Kota Bahru (12 hektar) Kampung Redang Sawa 1 (Lombong A), Gopeng (13 hektar) Kampung Redang Sawa 1 (Lombong B), Gopeng (10 hektar), Kampung Changkat Legong, Gopeng (10 hektar), Bakap 4, Batu Gajah (7.5 hektar), Kampung Changkat Bendera (Lombong A), Kinta (3.5 hektar) dan Kampung Changkat Bendera (Lombong B), Kinta (sembilan hektar).

Abdul Yunus berkata, benih-benih ikan seperti tilapia merah, patin, jelawat, lampam dan lain-lain spesis bermutu tinggi akan dilepaskan ke kolam-kolam bekas lombong yang diwartakan tersebut dari semasa ke semasa bagi menambah stok ikan sedia ada di dalam kolam berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, kolam-kolam bekas lombong yang telah diwartakan juga boleh dibangunkan dengan aktiviti perikanan rekreasi sebagai tarikan kepada kaki pancing.

"Dengan perkembangan perikanan rekreasi, aktiviti agrotourism juga akan dapat berkembang dengan pembangunan kawasan pelancongan berkonsepkan perikanan bandar termasuk pembinaan restoran terapung," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahun lalu, sebanyak 520 metrik tan ikan dengan nilai RM3.4 juta telah didaratkan oleh nelayan darat melalui kolam bekas lombong di negeri ini membabitkan 512 nelayan darat seluruh Perak.

Bagi penternakan ikan di kawasan kolam bekas lombong pula, Abdul Yunus berkata, sehingga kini seluas 2,250 hektar telah dibangunkan untuk penternakan air tawar di negeri ini dengan sebanyak 25,000 metrik tan ikan bernilai RM122 juta dihasilkan pada tahun 2019.