DAP akan terus gunakan modal sama, kata Najib

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa selepas kekalahan DAP dalam PRK Cameron Highlands, parti itu terus menuduh BN dan Pas memainkan isu agama dan bangsa untuk menang.

Katanya, itu adalah cara DAP untuk meneruskan propaganda mereka bagi memegang undi bukan Melayu.

Menurutnya, secara umum, kaum Cina bukan rasis tetapi mereka telah dihasut bertahun-tahun oleh DAP dengan propaganda dan tuduhan demi tuduhan bahawa Umno dan Pas adalah bersifat perkauman.

Najib turut memberi contoh permainan politik tidak jujur dan menghasut dari veteran DAP, Lim Kit Siang dan parti itu selepas PRU13 yang menuduh beliau mengeluarkan kenyataan 'apa lagi Cina mau'.

"Bertahun-tahun lamanya, frasa ini diulangi oleh pemimpin-pemimpin DAP di dalam ceramah-ceramah dan laman media sosial mereka dengan menuduh saya berkata demikian untuk mengasut serta menaikkan kemarahan kaum Cina, walaupun saya tidak pernah keluarkan kenyataan ini sama sekali.

"Apa yang saya sebenarnya pernah cakap ialah menggunakan frasa Tsunami Cina untuk PRU13. Tetapi Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP lain pun tidak suka ini," kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, calon PH Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran mendakwa, BN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan kerana memainkan isu perkauman.

Katanya, beliau tidak menyalahkan pengundi kerana kegagalannya merampas kerusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof turut mendakwa kempen perkauman dan agama yang dimainkan Umno serta Pas menjadi sebab utama kekalahan PH.

Beliau berkata, kaedah kempen yang dimainkan dua parti itu sesuatu yang membimbangkan dan mencemarkan usaha kerajaan untuk membentuk Malaysia Baharu, sekali gus menjejaskan undi Melayu dan Orang Asli terhadap PH.

Mengulas lanjut, Najib berkata, penggunaan Tsunami Cina oleh beliau dianggap sesuatu yang melampau, tidak patut dan sangat rasis tetapi pemimpin DAP termasuk Kit Siang berulang kali menggunakan frasa Tsunami Melayu dalam ceramah dan kenyataan mereka.

"Banyak lagi kenyataan-kenyataan yang menggunakan Tsunami Melayu dikeluarkan oleh Kit Siang sendiri.

"Sehingga hari ini, Kit Siang tidak pernah menjawab soalan saya dari beberapa bulan dahulu mengapa bila saya menggunakan frasa Tsunami Cina sekali sahaja ia disifatkan oleh DAP bahawa saya melampau, tidak patut dan rasis.Tetapi apabila Kit Siang dan pemimpin DAP lain berulang-kali menggunakan frasa Tsunami Melayu, mereka tidak pula dianggap sebagai "melampau, tidak patut dan rasis," katanya.