Dua lelaki ditahan curi dalam bangunan, pecah kenderaan

Antara barang yang dirampas polis susulan tertangkapnya dua lelaki di Klang, kelmarin.
Antara barang yang dirampas polis susulan tertangkapnya dua lelaki di Klang, kelmarin.
A
A
A

KLANG - Polis membongkar kegiatan jenayah curi dalam bangunan dan pecah kenderaan susulan tertangkapnya dua lelaki di Jalan Abdul Samad 2, Kapar, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun yang aktif di sekitar Klang itu diberkas sepasukan anggota D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Menurutnya, polis kemudian merampas pelbagai barang antaranya alatan pemotong, kad akses, pemutar skru, sarung tangan selain sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Siasatan mengesyaki suspek melakukan 21 kes pecah cermin kereta serta curi dalam bangunan di sekitar Klang dan telah aktif sejak Ogos lalu.

"Selain itu, semakan mendapati suspek berusia 35 tahun itu mempunyai sembilan rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah manakala seorang lagi suspek memiliki 13 rekod lampau juga membabitkan kes dadah serta jenayah selain baru dibebaskan dari penjara pada Julai lalu atas kesalahan samun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan barang hasil jenayah suspek.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak meninggalkan barang berharga di dalam kereta yang mana ianya boleh mendorong kejadian jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan: