1,638 kes denggi direkodkan di Kuantan sejak Januari

MPK dengan kerjasama pelbagai agensi berusaha menceriakan bandar Kuantan dengan aktiviti penanaman pokok.
MPK dengan kerjasama pelbagai agensi berusaha menceriakan bandar Kuantan dengan aktiviti penanaman pokok.
A
A
A

KUANTAN - Sejumlah 1,638 kes demam denggi direkodkan di daerah Kuantan sejak Januari sehingga semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin berkata, sebanyak 14 lokaliti wabak denggi baharu direkodkan di Sungai Karang Pantai dan Taman Semabok Fasa 2 dengan kes tertinggi setakat ini iaitu masing-masing enam kes.

Menurutnya, Taman Cenderawasih Indah mencatatkan lima kes baharu, Flat Pak Mahat dan Taman Pandan Permai (empat kes), Taman PAKR Sungai Pandan (Bukit Rangin), Taman Seri Setali 2 Jalan Haji Ahmad, Taman Aman Bukit Sekilau, Taman Air Putih Perdana Galing, Kampung Peramu (DM153), Bangunan Lot Kedai IM3 dan Taman Seri Mahkota Aman pula masing-masing tiga kes.

"Selain itu, Taman LKNP Bukit Setongkol Timur dan Kampung Peramu (Lot 399) pula mencatatkan sebanyak dua kes.

"Jumlah itu direkodkan oleh Unit Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan yang mana wabak ini menunjukkan statistik meningkat bagi daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar My Beautiful Lanscape anjuran MPK dengan kerjasama Widad University College di Indera Mahkota di sini hari ini.

Kakitangan MPK dan warga Widad bergambar kenangan sempena My Beautiful Lanscape di Indera Mahkota hari ini.
Kakitangan MPK dan warga Widad bergambar kenangan sempena My Beautiful Lanscape di Indera Mahkota hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Senior Widad Business Group, Datuk Nasir Mat Dam dan Ketua Pegawau Operasi Widad Education, Mohd Farooq Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Hamdan berkata, setiap minggu MPK bersama pelbagai agensi seperti jabatan kesihatan, Alam Flora, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) turun padang bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai demam denggi.

"Oleh itu, saya gesa semua masyarakat mengambil inisiatif untuk membersihkan kediaman mereka terutama di kawasan takungan air dan kolah.

"Luangkan masa 10 hingga 20 minit seminggu untuk membersihkan rumah," katanya.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, pada program itu sejumlah 480 pokok bunga kertas ditanam di bahu jalan di sini membabitkan penyertaan lebih 100 pelajar dan kakitangan Widad serta MPK.

Katanya, sejak Januari lalu lebih 20,000 pokok bunga ditanam di daerah ini dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi dalam usaha menceriakan landskap di daerah Kuantan.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, MPK memperuntukkan RM6 juta bagi memperindahkan serta meningkatkan pencahayaan di Jalan Wong Ah Jang dan persimpangan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah sehingga simpang Berlian berdekatan politeknik.