Gerobok Rezeki bantu pelajar asnaf

Gerobok Rezeki SMK Kota ini diletakkan bersebelahan kantin bagi memudahkan pelajar mengambil makanan yang disediakan.
Gerobok Rezeki SMK Kota ini diletakkan bersebelahan kantin bagi memudahkan pelajar mengambil makanan yang disediakan.
A
A
A

KOTA BHARU - Menyedari keperluan semasa pelajar asnaf, pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota tampil membawa kelainan dengan mewujudkan Gerobok Rezeki di kantin sekolah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan.

Gerobok Rezeki adalah sebuah almari yang diletakkan di kantin sekolah itu dan merupakan hasil ilham pengurusan sekolah melalui almari makanan dan keperluan harian yang diletakkan di sebuah masjid sebelum ini.

Pengetua SMK Kota, Shamsul Bahari Jaafar berkata, program Gerobok Rezeki di sekolahnya telah mula dilaksanakan pada Ogos tahun lalu.

Shamsul berkata, Gerobok Rezeki dikendalikan oleh unit kebajikan sekolah yang diketuai oleh Norihan Md Kassim menggunakan sebuah almari empat tingkat yang boleh dipenuhi dengan nasi, bihun, mi goreng, roti, buah dan juga air mineral.

"Kami sediakan Gerobok Rezeki ini untuk mereka yang kurang berkemampuan. Ada yang juga yang tidak bawa duit langsung ke sekolah sebab mereka orang susah.

"Jadi kami berikan bantuan melalui gerobok ini supaya mereka tahu walaupun tidak dapat makan di rumah tapi di sekolah tetap ada makanan untuk mereka.

"Ia juga membantu mereka untuk lebih berdisiplin datang ke sekolah. Bukan untuk mereka saja, ada juga pelajar yang lupa bawa duit dan sebagainya pun boleh ambil makanan dalam gerobok tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Shamsul (kiri) bersama Norihan menunjukkan bekalan makanan yang disediakan di dalam Gerobok Rezeki SMK Kota.
Shamsul (kiri) bersama Norihan menunjukkan bekalan makanan yang disediakan di dalam Gerobok Rezeki SMK Kota.

Terdahulu, Shamsul meluangkan masa bersama barisan guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kota, Mohd Amizi Che Seman melihat bekalan makanan yang ada di dalam Gerobok Rezeki tersebut.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, pihaknya mengalu-alukan pemberian orang ramai untuk membantu menjayakan lagi program tersebut dan memberi lebih manfaat kepada pelajar yang memerlukan.

"Untuk rekod, kita ada lebih 30 orang pelajar dalam kategori asnaf dan ada di antara mereka yang kami berikan kupon makan untuk makan di kantin.

"Selebihnya itu kalau mereka tidak mahu makan di kantin, mereka boleh ambil makanan dalam Gerobok Rezeki. Gerobok Rezeki pun ada nasi, mi, bihun dan macam-macam. Mereka boleh ambil dan makan seperti biasa.

"Buat masa sekarang ini penyumbang kita untuk Gerobok Rezeki ini adalah dari pengurusan sekolah sendiri dan dibantu sokongan penuh daripada pihak PIBG.

"Apa pun kami tetap mengalu-alukan kerjasama orang ramai jika ada yang mahu menyumbang dan bolehlah berhubung dengan pihak kami untuk sebarang maklumat lanjut," katanya.

Mohd Amizi (dua dari kanan) melihat jenis roti yang disediakan di dalam Gerobok Rezeki SMK Kota.
Mohd Amizi (dua dari kanan) melihat jenis roti yang disediakan di dalam Gerobok Rezeki SMK Kota.