Tumpat, Yan antara 28 daerah miskin di Malaysia

Rina Harun
A
A

TANGKAK - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengenal pasti 28 daerah miskin di negara ini yang perlu diberi tumpuan bagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia melibatkan program merangkumi pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan, pendidikan dan sebagainya bagi membolehkan penduduk di kawasan tersebut keluar dari senarai daerah miskin.

“Antara daerah dikenal pasti ialah Tumpat di Kelantan, Yan di Kedah selain beberapa daerah di Sabah dan Sarawak. KPLB akan beri perhatian untuk menyalur bantuan selain bekerjasama dengan agensi dan jabatan berkaitan dalam meningkatkan taraf sosial serta ekonomi penduduk.

“Kita kenal pasti kawasan ini yang perlu diberi penekanan khusus antaranya pendidikan seperti sasaran ditetapkan kementerian ini iaitu 67 peratus anak-anak luar bandar daripada keluarga berpendapatan B40 ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selain program keusahawanan dan pelbagai lagi untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Usahawan Muslimah anjuran Persatuan Muslimah Johor yang dihadiri kira-kira 200 peserta di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang di sini, hari ini.

Sementara itu, menurutnya, kerajaan PH komited untuk membela penduduk termasuk Orang Asli di Parlimen Cameron Highlands walaupun calon PH tewas pada PRK berkenaan semalam.

Beliau berkata, pihaknya berjanji untuk tidak ‘menganaktirikan’ penduduk di kawasan tersebut dengan menjadikan perbezaan politik sebagai jurang sempadan.

“Keperluan dalam meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat khususnya perlu diambil sebagai keutamaan. Kita telah merasainya sebelum menjadi kerajaan dan tidak akan lakukan kesilapan yang sama,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia