Lelaki ditahan pecah masuk restoran

Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut pihak polis.
Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut pihak polis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang memecah masuk sebuah restoran pada Mac lalu ditahan polis di sebuah rumah di Cheras di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditahan sepasukan anggota Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 2.15 pagi.

Menurutnya, soal siasat polis, suspek mengaku melakukan jenayah tersebut pada 25 Mac lalu di sebuah restoran di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

"Dalam kejadian itu, suspek membawa lari wang tunai serta beberapa karton rokok dianggarkan bernilai RM5,000 dan dipercayai dilakukan bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Antara barang yang dirampas.
Antara barang yang dirampas.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Katanya, pihaknya menasihati mana-mana premis perniagaan untuk sentiasa berhati-hati dan sentiasa mengamalkan langkah keselamatan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara. Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh salurkan kepada pihak polis IPD Brickfields di talian 03-22979222," katanya.