JDT ujian sebenar karakter TFC

Terengganu FC bakal melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Jumaat ini. - Foto Terengganu Football Club
Terengganu FC bakal melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Jumaat ini. - Foto Terengganu Football Club
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui pasukannya berdepan tugas berat apabila bakal melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Jumaat ini.

Menurutnya, TFC perlu melakukan persiapan yang cukup baik sekiranya mahu mengintai peluang untuk melakar keputusan positif ke atas penyandang juara itu di laman sendiri.

Nafuzi memberitahu, beliau juga sedar JDT mampu meneruskan rentak cemerlang mereka, apatah lagi Harimau Selatan masih dahagakan kemenangan selepas membelasah Perak 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat lalu.

Nafuzi Zain
Nafuzi Zain

“Kemenangan besar JDT ke atas Perak itu normal kerana kita tahu kualiti pasukan JDT dengan pemain yang mereka ada. Ia bukan sesuatu yang pelik.

“Jadi, ia bukan tugas mudah buat kami tetapi kita akan cuba yang terbaik apatah lagi bermain di laman sendiri,” katanya.

TFC memulakan kembali saingan Liga Malaysia (Liga-M) dengan langkah kanan apabila menang ke atas PJ City dan Sabah sebelum tewas 0-1 kepada Melaka United Jumaat lalu.

Dalam masa sama, Nafuzi mahu TFC kembali berada di landasan kemenangan dalam dalam usaha memastikan anak-anak buahnya terus memberikan cabaran di kedudukan teratas liga.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak bernasib baik untuk melakar kemenangan ketika menentang Melaka. Tetapi, saya tetap berpuas hati dengan persembahan para pemain dan saya yakin kami mampu bangkit dalam perlawanan seterusnya.

“Sudah tentu kami perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada dan bersedia sepenuhnya menentang JDT,” jelasnya.