Masyarakat mangsa industri

Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.
Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.
A
A
A

PENGALAMAN krisis air kembali dengan masalah pencemaran air oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sungai adalah sumber air di semua negeri dan terpenting di Malaysia. Adakah pengalaman tragedi Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di Johor sudah dilupai atau sekadar berlalu di mata industri.

Dahulunya pencemaran air membawa kepada punca pencemaran udara. Kali ini pembuangan sisa industri menjadi punca pencemaran sumber air di Sungai Gong dekat Rawang, Selangor.

Pencemaran sungai berlaku dipercayai daripada pembuangan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembang yang merupakan sungai utama bagi Sungai Selangor. Sungai-sungai di Malaysia sudah bertahun menjadi sumber utama bekalan air kepada masyarakat, khususnya di Lembah Klang.

Bagi memantapkan keselamatan air, sumber air harus ada undang-undang yang lebih ketat, bukan setakat peringkat negeri, malah pada peringkat Persekutuan bagi menjaga kelestarian sumber air yang amat penting kepada manusia dan ekonomi negara.

Namun, sungai-sungai juga dihimpit oleh pembandaran sehingga tapak industri turut dibina berhampiran sungai. Itu seharusnya diambil perhatian sejak dahulu lagi dan perlunya kesedaran pengurusan keselamatan sumber air sungai.

Sungai terus terancam selepas pengalaman ngeri di Sungai Kim Kim. Adakah hanya sekadar perlu hukuman denda dan lain-lain? Paling utama, kesedaran industri dan pemantauan secara serius oleh pihak berkuasa.

Sungai tercemar menyebabkan masyarakat selaku pengguna air menjadi mangsa keadaan, malah industri yang menggunakan air terjejas teruk.

Pengguna trauma kerana bekalan air terjejas. Mangsa pencemaran air berdiri bersama baldi berbaris menanti kehadiran bekalan air untuk kegunaan memasak dan kegunaan lain.

Artikel Berkaitan:

Kejutan-kejutan ketiadaan air pasti menyebabkan masyarakat yang bergantung kepada sumber pendapatan daripada perniagaan makanan dan dobi terjejas teruk.

Tambahan pula, dengan cabaran pandemik koronavirus (Covid-19) yang mengehadkan keadaan pembeli yang ramai satu-satu masa, maka ketiadaan air menjadi kegusaran peniaga. Syarikat besar yang menjalankan perniagaan menggunakan air turut mengalami kerugian yang besar.

Pengalaman ketiadaan air kali ini bukan kerana ‘ketiadaan air’ tetapi masalah pencemaran air berikutan kurangnya kesedaran menjaga keselamatan sumber air atau river water security.

Pihak bertanggungjawab harus segera menyemak semula semua lokasi aktiviti industri yang berhampiran sungai agar prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan pencemaran alam sekitar wajib dipatuhi.

Pihak pengusaha industri dan pekerja yang terlibat dengan aktiviti industri di kawasan berhampiran sungai harus mengikuti kursus wajib mengenai pengurusan sisa industri dan pengurusan alam sekitar.

Kawalan tersebut perlu melibatkan pekerja-pekerja industri kerana mereka yang melaksanakan kerja-kerja industri yang terdedah dengan pencemaran air atau pencemaran udara.

Jabatan Alam Sekitar harus diberikan bidang kuasa yang lebih luas dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memantapkan daya tahan sungai atau resiliant river dalam menjaga keselamatan sumber air sungai.

* Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim ialah Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)