Di sebalik kisah kesesakan

Kesesakan jalan raya sememangnya menjadi lumrah yang perlu dihadapi warga kota. - Foto 123RF
Kesesakan jalan raya sememangnya menjadi lumrah yang perlu dihadapi warga kota. - Foto 123RF
A
A
A

JADUAL kehidupan saya berubah sejak Jun lalu. Saya perlu menghidupkan enjin kereta lebih kurang jam 6.40 pagi untuk ke tempat kerja (waktu pejabat jam 8.30 pagi). Jika terlewat lima minit, impaknya terlalu besar dan begitu menekan emosi saya. Berdasarkan peta laluan, perjalanan dari Seri Kembangan ke Shah Alam, Selangor hanya memakan masa 41 minit. Hakikatnya, tidak begitu.

Mahu keluar dari taman perumahan akan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Itu belum kira menyusuri lebuh raya. Selepas membayar dua tol, masih lagi dibelenggu kesesakan. Pada awalnya saya merungut. Saya jadi bengkeng tatkala melihat kenderaan berat terutama jentera pengaut yang turut ‘menyibuk’ di atas jalan raya.

Namun, hari demi hari saya sedar kesemua mereka keluar awal pagi demi mencari sesuap nasi seperti saya. Sesungguhnya, ALLAH Maha Hebat. Rentetan pengalaman baharu itu telah membuatkan saya menghadam pelajaran hidup yang lebih matang dan bermakna.

Hari demi hari tatkala tersekat dalam ‘himpitan’ kenderaan di atas jalan, deria mata saya dijamu dengan pelbagai rencam manusia.

Ia bermula apabila saya melihat dua staf sekuriti di taman kami yang tampil awal setiap hari untuk bertukar syif. Mereka berdua merupakan warga emas yang berdedikasi walaupun gaji mereka tidak seberapa.

Kira-kira 200 meter dari rumah saya ada sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Di sini, kekalutan ibu bapa yang berpakaian pejabat menghantar anak-anak jelas kelihatan. Beberapa kilometer ke hadapan, saya melewati sebuah sekolah lagi. Entah kenapa saya sering menyaksikan seorang lelaki yang membonceng anaknya berterusan melanggar lampu isyarat. Adakah beliau berkejar ke tempat kerja? Saya kurang pasti.

Bersyukur

Memasuki jalan besar, saya melihat empat sekawan warga Bangladesh mengayuh basikal tua. Sebaik tiba di kawasan berbukit, mereka menolak basikal itu. Getus hati saya, “Oh! Mereka hanya mampu beli basikal tua dan tak malu mengayuhnya ke tempat kerja!”

Artikel Berkaitan:

Pelbagai adegan lagi saya saksikan. Paling kerap adalah pemandangan pemandu wanita bersolek dalam kereta. Pemandu mengantuk, usah cakap, memang banyak. Peristiwa kemalangan ke tempat kerja juga kerap saya lihat. Rata-rata disebabkan tidak cukup tidur.

Sebaik melewati bulatan di Seksyen 15, Shah Alam, mata saya melirik ke bahu kiri jalan. Lebih kurang jam 7.15 pagi, bas bernombor 751 menurunkan sejumlah pekerja kilang. Kemudian hadir segerombolan lagi pekerja kilang lelaki berpakaian seragam berwarna biru berjalan kaki menuju ke kilang.

Apa yang menarik perhatian, kebanyakan pekerja lelaki berkenaan membawa bekal makanan. Sesetengah mereka membawa makanan menggunakan mangkuk tingkat.

Ya, sinopsis kehidupan manusia yang saya saksikan sejak Mac lalu memberi saya rumusan yang cukup jelas. Sememangnya hal yang membabitkan rezeki halal membuatkan setiap insan sanggup berkorban apa sahaja termasuklah bangkit awal dan meredah kesesakan yang entah bila ada kesudahannya.

Ia juga mendidik saya agar berdiplomasi dengan semua keadaan sebab dalam dunia ini, penghuninya bukan kita seorang sahaja.

Babak-babak kecil yang ditonton sepanjang perjalanan lebih kurang 30 kilometer itu membuatkan saya lebih insaf dan beringat. Pada ketika dunia sedang berdepan dengan kemelesetan ekonomi, saya perlu bersyukur kerana masih diberi ruang untuk bekerja demi survival hidup.

Sememangnya saranan guru sekolah agama saya bahawa rajin-rajinkan diri untuk memandang orang sekeliling kita yang kurang bernasib baik daripada kita merupakan peringatan paling bererti.

Rasulullah SAW sendiri bersabda: “Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang berada di atas kamu, hal itu akan membuatkan kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, manusia adalah makhluk yang kompleks, tidak pernah berasa puas dan cukup dengan apa yang mereka ada. Semoga ALLAH menjadikan kita sebagai hamba yang selalu memiliki sifat ghina iaitu selalu berasa cukup dengan nikmat harta yang diberikan-Nya.

* Mazlina Abdul Majid ialah Editor Content Lifestyle (Rencana) SinarPlus, Sinar Harian