PRN Sabah dibayangi Covid-19

Malaysia telah berjaya melalui dua pilihan raya kecil dalam tempoh pandemik Covid-19 iaitu di Chini, Pahang dan Slim, Perak. - Foto Bernama
Malaysia telah berjaya melalui dua pilihan raya kecil dalam tempoh pandemik Covid-19 iaitu di Chini, Pahang dan Slim, Perak. - Foto Bernama
A
A
A

HANYA tinggal tiga hari lagi pilihan raya negeri di Sabah akan membuka tirai gelanggangnya.

Sabtu ini, ribuan ahli politik dijangka berhimpun di Negeri Di Bawah Bayu untuk mengikuti proses penamaan calon parti masing-masing.

Sebaik penamaan calon, semua bakal wakil rakyat itu akan diberi masa selama 14 hari untuk bergasak dan berkempen di seluruh kawasan masing-masing sebelum pembuangan undi pada 26 September ini.

Dengan penambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini menyaksikan jumlah kerusi DUN di negeri itu meningkat kepada 73 kerusi.

PRN di Sabah bakal menjadi penentu siapakah akan kembali mengemudi negeri itu selepas parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terpaksa mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.

Langkah pembubaran itu dibuat selepas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berjaya mendapat sokongan 33 ADUN Sabah yang melompat menyertai kemnya sekali gus menyebabkan Shafie kehilangan majoriti di DUN.

Yang pasti, pesta demokrasi di Sabah bulan ini dihambat dengan cabaran yang sangat besar.

Walaupun Malaysia telah berjaya melalui dua pilihan raya kecil dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19) iaitu di Chini, Pahang dan Slim, Perak, namun PRN Sabah melibatkan proses demokrasi yang lebih besar iaitu membabitkan 1.12 juta pengundi.

Artikel Berkaitan:

Itu belum dikira ribuan pemimpin, penyokong, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya dan pemerhati politik yang bakal berkampung di Sabah.

Dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru mengumumkan Kluster Benteng terbaru di Sabah melibatkan 64 orang pesakit yang sah Covid-19, malah daerah Lahad Datu sudah diletakkan sebagai Zon Merah, PRN Sabah berdepan ancaman Covid-19.

Walaupun Kluster Benteng Sabah banyak melibatkan banduan dan kakitangan penjara, namun jangan dilupa punca kepada kluster tersebut adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Lantaran itulah, pihak berkuasa tidak boleh bertolak ansur dan mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada PRN Sabah nanti.