X

Kindly register in order to view this article
!

Perancis, AS berbeza pandangan isu Hezbollah

Pergerakan Hezbollah mempunyai pengaruh yang kuat di Lubnan dan tidak boleh diketepikan dalam usaha menstabilkan negara itu. - Foto AFP
A
A

KETIKA menyentuh tentang Lubnan, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis mempunyai pandangan yang sama.

Bagaimanapun, satu perbezaan utama adalah melibatkan pergerakan Hezbollah yang dijauhkan oleh Washington tetapi ditoleransi oleh kepimpinan Paris yang pragmatik.

Apabila AS berusaha untuk meminggirkan dan menghalang pengaruh kumpulan disokong Iran itu yang dilabelnya sebagai sebuah pertubuhan pengganas, Perancis pula mengiktirafnya sebagai aktor politik utama kerana kerjasamanya diperlukan bagi mengeluarkan Lubnan daripada krisis.

Kerajaan Lubnan meletakkan jawatan pada bulan lalu di tengah-tengah kemarahan rakyat berikutan letupan besar di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu yang membunuh 191 orang, ribuan cedera dan memusnahkan sebahagian besar ibu kota negara tersebut.

Kedua-dua kuasa Barat itu bersetuju bahawa Lubnan memerlukan satu Kabinet yang berbeza daripada sebelum ini bagi menyelesaikan pembaharuan di Beirut dengan segera.

"Pendekatan Perancis cenderung menjadi lebih realistik," kata seorang penganalisis, Karim Bitar kepada AFP.

"Perancis melihat Lubnan seperti yang ada sekarang manakala pentadbiran Trump (Presiden AS, Donald Trump) cenderung melihat Lubnan seperti apa yang ia mahukan," ujarnya.

Pandangan AS ialah Hezbollah mempunyai pengaruh yang tidak terbatas di negara itu yang perlu dibendung," tambah Karim.

Hezbollah sebelum ini merupakan satu-satunya kumpulan yang tidak meletakkan senjata selepas perang saudara tercetus pada tahun 1975 hingga 1990.

Bagaimanapun, Paris mengiktiraf kumpulan itu di Lubnan sebagai aktor politik utama yang mempunyai sebuah kawasan mengundi yang besar dalam golongan komuniti Syiah, ujar Karim.

Tehran mempunyai hubungan yang baik dengan Hezbollah di Lubnan. - Foto AFP
Tehran mempunyai hubungan yang baik dengan Hezbollah di Lubnan. - Foto AFP

AS telah memerhatikan dengan rapat manakala Presiden Perancis, Emmanuel Macron melawat negara itu sebanyak dua kali sejak 4 Ogos lalu untuk mendesak supaya perubahan politik dan pembaharuan dilakukan bagi 'membukakan' satu bantuan kewangan.

Semasa lawatannya, pemimpin tersebut membezakan dua wajah Hezbollah.

Wajah pertama ialah ia dianggap sebagai sebuah kumpulan pengganas.

Satu lagi wajahnya ialah Hezbollah sebagai sebuah parti politik yang dipilih oleh pengundi ke parlimen dan bersekutu dengan parti presiden Lubnan yang tidak boleh diketepikan daripada ruang perbincangan.

Ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah positif dengan lawatan Macron dengan tidak melabelkannya sebagai campur tangan asing.

Pemimpin blok parlimen pergerakan Syiah, Mohammad Raad merupakan antara wakil rakyat yang bertemu dengan Macron sebelum dia berkata, semua pihak sudah bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dalam tempoh dua minggu.

Perancis yang telah menggariskan satu pelan damai untuk pembaharuan bagi kerajaan baharu, mahu mengekalkan satu rangkaian dialog dengan Hezbollah bagi mengelak ketidakstabilan Lubnan, kata Karim.

Paris melihat ia sebagai broker yang jujur untuk melakukannya ketika kemuncak ketegangan antara Washington dengan Tehran.

Perancis jadi orang tengah

Para pemerhati berkata, Perancis merupakan satu-satunya kuasa Barat mengekalkan hubungan secara langsung dengan Hezbollah dan menyatakan, duta Perancis ketika ini pernah memegang jawatan yang sama di Tehran.

"Terdapat hubungan secara langsung antara Paris dengan Hezbollah," kata seorang diplomat Arab di Beirut kepada AFP.

Washington kini dalam persediaan untuk mengadakan pilihan raya presiden AS dan ia kelihatan memberikan Perancis peluang ke atas Lubnan.

"Amerika telah menetapkan satu syarat bahawa Hezbollah tidak akan mengambil bahagian dalam kerajaan (baharu). Tetapi, Amerika boleh 'berpura-pura tidak melihat' ke arah Hezbollah jika terdapat satu perjanjian dan pembaharuan," kata diplomat berkenaan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendesak supaya pembaharuan politik dilakukan di Lubnan. - Foto AFP
Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendesak supaya pembaharuan politik dilakukan di Lubnan. - Foto AFP

Sementara itu, Penolong Setiausaha Hal Ehwal Asia Barat AS, David Schenker yang turut melawat Lubnan pada minggu lalu memberitahu akhbar An-Nahar bahawa Washington menghargai inisiatif Perancis.

Bagaimanapun katanya, AS berbeza pandangan dalam beberapa perkara termasuk Hezbollah bukannya sebuah pertubuhan politik yang sah tetapi sebuah kumpulan pengganas.

Dia tidak menemui tokoh-tokoh utama politik sebaliknya berjumpa dengan ketua tentera, Joseph Aoun iaitu seorang wakil rakyat yang telah meletakkan jawatan selepas letupan di pelabuhan Beirut, aktivis-aktivis masyarakat awam dan tokoh Syiah yang menentang Hezbollah.

Seorang tokoh Syiah memberitahu AFP bahawa Schenker berkata ketika dalam pertemuan mereka bahawa pertubuhan itu tidak boleh dipercayai untuk mengetuai pembaharuan.

"Hezbollah telah diberikan peluang yang cukup banyak sejak tahun 2015 untuk babitkan diri di dalam negara dan kelakuannya tidak berubah," kata satu sumber itu yang melaporkan kenyataan Schenker.

AS telah menuntut Hezbollah untuk meletakkan senjata tetapi turut mendesak satu minoriti politik di Lubnan bahawa negara tersebut perlu berkecuali dan memutuskan hubungan dengan Iran serta menjauhkan konflik di rantau tersebut.

Kebanyakan puak politik di Lubnan telah menerima bahawa pergerakan Syiah merupakan sebuah pasukan ketenteraan untuk berjuang bersama dan aktor politik yang mewakili semua cawangan di negara itu bersama sekutu-sekutunya yang ketika ini mendominasi parlimen.

Ketika memberikan reaksi terhadap Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang mendesak senjata-senjata Hezbollah akan ditangani sebagai keutamaannya, pemimpin Druze, Walid Jumlatt dalam wawancara menerusi televisyen pada minggu lalu berkata, penyelesaian itu akan berlaku menerusi politik.

"Biarkan Pompeo lupakan tentang roket buat masa ini. Perkara itu akan diselesaikan melalui politik apabila tiba masanya," ujarnya. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!