Kalau dah haram, haram juga!

A
A
A

LEBIH lima juta pengguna air di Selangor terjejas akibat pencemaran yang berpunca daripada sebuah kilang. Kali ini empat beradik pemilik kilang telah direman. Macam-macamlah suara yang menuntut hukuman lebih berat pada mereka.

Apa yang Awang pelik ialah kilang itu telah beroperasi secara haram sejak tahun 2014 lagi. Menurut Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kilang itu telah diberi notis kerana beroperasi tanpa lesen.

Sudah begitu lama kilang itu beroperasi, baru pada Mac tahun ini diberikan notis? Khabarnya notis itu pun tidak dipedulikan oleh tuan punya kilang. Awang nak tanya apa yang pihak MPS buat selama ini? Kita semua tahu kilang itu bukan sekali disyaki menjadi punca pencemaran di Sungai Gong.

Rakyat Selangor nak tahu, berapa banyak kilang seumpama itu di dalam kawasan MPS? Cerita kilang haram ini bukan baharu. Tapi selagi tak berlaku kes pencemaran teruk selagi itulah semua pihak pandang sebelah mata sahaja.

Awang cadangkan selain tindakan pada tuan punya kilang, pihak yang bertanggungjawab di MPS pun patut juga diambil tindakan. Jikalau mereka peka dan bertanggungjawab hal seperti ini tidak akan berlaku.

Menteri Besar patut panggil semua ketua majlis perbandaran di Selangor. Beri amaran keras. Jikalau masalah kilang haram berterusan, mereka akan diberikan penyapu sebagai lambang kegagalan mereka.

Isteri MB mohon maaf

Terlebih dahulu Awang tabik hormat pada isteri MB Selangor yang cepat-cepat minta maaf pada rakyat Selangor. Bagaimanapun, Awang faham ‘serangan’ netizen terhadap posting yang dibuat oleh beliau.

Artikel Berkaitan:

Sewaktu jutaan rakyat menderita ketiadaan air, isteri MB tunjuk gambar lori tangki di kediaman rasminya. Memang patut MB diberikan air, oleh sebab kediamannya pun terlibat, tapi tak usahlah nak pos bagi tahu dunia lori tangki hantar air.

Rakyat Selangor berkata, kami rakyat jelata tunggu lori tangki tak tiba-tiba. Segala periuk belanga dan baldi digunakan untuk dapatkan air.

Ini pengajaran pada isteri orang besar di mana-mana pun. Rakyat tahu mereka lebih beruntung daripada orang lain. Mereka ada keistimewaan dari segi layanan. Banyak isteri orang besar yang tunjuk mereka makan angin, duduk hotel mewah, shopping sana sini, beli kereta baharu dan macam-macam lagi. Semua dimasukkan dalam akaun media sosial mereka.

Awang harap isteri orang besar ini gunakanlah akaun media sosial mereka dengan bijaksana. Bukan tempat tunjuk riak apa lagi tunjuk lagak.