'Saya tabik keberanian pemain Terengganu Turtles'

Antara aksi menarik dipamerkan pemain Terengganu Turtles dan MASUM UPM Knights pada saingan Divisyen Satu STL 2020 di Stadium Titiwangsa hari ini. - Foto SepakTakraw League
Antara aksi menarik dipamerkan pemain Terengganu Turtles dan MASUM UPM Knights pada saingan Divisyen Satu STL 2020 di Stadium Titiwangsa hari ini. - Foto SepakTakraw League
A
A
A

"SAYA tabik keberanian yang dipamerkan pemain-pemain Terengganu Turtles hari ini walaupun kami tewas kepada MASUM UPM Knights."

Itu luahan pengendali Terengganu Turtles, Mohd Futra Abdul Ghani ketika mengulas prestasi dipamerkan pemain-pemainnya selepas aksi menentang MASUM UPM Knights pada perlawanan pertama saingan Divisyen Satu, Liga Sepak Takraw (STL) 2020 di Stadium Titiwangsa, hari ini yang menyaksikan pasukan dari pantai timur tewas 21-14, 21-11.

Menurut Mohd Futra, kekurangan pemain yang dihadapi Turtles pada saat akhir secara tidak langsung menjejaskan taktikal yang dirancang sebelum perlawanan menentang UPM Knights itu.

"Situasi ini menyebabkan saya terpaksa menurunkan pembantu jurulatih, Hamikhairi Roslan dan Muhammad Hafizul Ikmal Mohd Noor bagi mengisi slot dua pemain berkenaan.

"Jika ditanya kepada sesiapa pun tidak ada pasukan yang mahu kalah terutama dalam perlawanan pertama liga, namun saya tabik keberanian dipamerkan barisan pemain pada hari ini walaupun ini bukan DNA sebenar Terengganu Turtles.

"Biarpun tampil serba kekurangan pada hari ini, namun masih mampu memberikan saingan sengit kepada lawan sehingga mata terakhir inilah karakter juang sebenar demi maruah pasukan," katanya.

Pada masa sama, Mohd Futra berkata, Terengganu Turtles bakal menentang Perlis Vipers pada perlawanan yang disifatkan sebagai pertarungan tiada pilihan kecuali menang.

"Kekalahan kepada UPM Knights menyaksikan kami tiada pilihan lain kecuali menewaskan Perlis Vipers pada perlawanan esok.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH dengan semangat juang tinggi ditunjukkan pemain-pemain Terengganu Turtles, saya percaya kami mampu kembali bangkit menghasilkan keputusan yang positif," katanya.

KEPUTUSAN PENUH

Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) 2020

PSM Mavericks tewaskan Kedah Eagles 21-11, 21-8

Putrjaya Cyborg tewaskan Bomba Fighters 21-10, 21-18

MASUM UPM Knights tewaskan Terengganu Turtles 21-14, 21-11