Persediaan sambut Hari Malaysia di Sibu selesai

Abdul Taib (dua dari kanan) menerima cenderahati ketika kunjungan Saifuddin (dua dari kiri) di kediamannya di Demak Jaya, Kuching, hari ini. - Foto Bernama
Abdul Taib (dua dari kanan) menerima cenderahati ketika kunjungan Saifuddin (dua dari kiri) di kediamannya di Demak Jaya, Kuching, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Semua persediaan untuk menyambut Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu pada 16 September ini telah siap, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri itu.

“Kami juga telah melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud untuk memanjangkan undangan menghadiri sambutan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 di sini semalam.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta kesemua menteri Kabinet persekutuan dijadualkan hadir pada sambutan itu.

Bagaimanapun, katanya, jumlah tetamu ke acara berkenaan dihadkan kepada 500 orang dan mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Saifuddin menyeru rakyat Malaysia khususnya di Sarawak agar menonton siaran langsung acara itu menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sementara itu, Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi yang merupakan pengerusi bersama mesyuarat berkata, kerajaan bukan menghalang rakyat daripada datang ke acara tersebut, namun langkah berkenaan terpaksa diambil bagi mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai program utama sambutan, beliau berkata, selain persembahan hiburan, turut diadakan tayangan video penghargaan rakyat ke arah pembentukan Malaysia.

“Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci, nanti hilang unsur ‘surprise’. (Kalau nak tahu) Tonton sahaja siaran langsung menerusi RTM,” katanya. - Bernama