Isu rakyat diutamakan

A
A
A

SEDAR tidak sedar kita sudah berada di ‘quarter’ terakhir tahun 2020. Satu tahun yang sungguh mencabar tidak kira siapa kita dan di mana kita berada. Tahun kita diuji dengan pandemik koronavirus (Covid-19), tekanan ekonomi dan kecelaruan politik.

Ujian-ujian itu adalah mendasar ke bawah hingga akar dan umbi terkesan hebat seakan-akan tidak lagi kuat mengikat tegap hingga ada yang telah tersungkur menyembah bumi.

Banyak syarikat terpaksa memberhentikan pekerja, mengecilkan operasi dan ada yang terpaksa menutup terus perusahaan yang dikendalikan.

Ramai dalam kalangan rakyat menempuh saat getir itu dalam keadaan yang berbeza-beza. Mereka yang bergaji tetap mungkin tidak terkesan, namun bagi mereka yang tidak berpendapatan tetap, ia adalah satu tamparan hebat.

Berdasarkan kajian yang dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia pada 23 hingga 31 Mac 2020, sebanyak 94.8 peratus daripada mereka yang bekerja sendiri telah melaporkan mengalami pengurangan pendapatan bulanan.

Kajian tersebut dibuat pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesannya masih pada tahap permulaan. Namun, calar kini telah bertukar menjadi luka.

Apa yang dilakukan sekarang adalah ikhtiar mengelak luka menjadi barah. Lantaran itu, penumpuan, pemerhatian, kerjasama dan berhemah terhadap keperluan mendasar (fundamental) adalah amat penting.

Fokus isu rakyat adalah ‘fundamental’ utama perjuangan kita pada masa kini. Rakyat tidak lagi mempunyai ‘buffer’ (penyangga) tebal bagi menanggung segala kebobrokan yang dibawa oleh pemimpin yang hanya fokus berpolitik untuk berkuasa dan menunjuk kuat.

Artikel Berkaitan:

Rakyat perlukan pembela yang mendengar suara rintih dan menyantuni mereka. Bukan berupa kosmetik dan hiasan bagi memujuk sokongan untuk terus berkuasa, sebaliknya perlu bersama memahami denyut nadi dan resah gelisah dalam mengharungi kehidupan.

Alhamdulillah, peralihan kuasa yang tidak dijangka berlaku daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN). Rakyat telah terselamat daripada gelojoh permainan politik si tamak kuasa.

Beberapa tindakan agresif pemimpin negara dalam menghadapi kemelut Covid-19 kelihatan memberi kesan positif kepada negara dan rakyat.

Sungguhpun masih belum melepasi atau bebas daripada ancaman-ancaman berantai, namun kita masih lagi bertahan.

Kelebihan

Baru-baru ini juga diumumkan kajian yang dilakukan Merdeka Center, Ilham Center dan Kajidata Research terhadap senario politik semasa, persepsi serta populariti yang dilakukan antara Julai 2020 hingga Ogos 2020.

Rata-rata kajian itu mendapati bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kelebihan dengan kadar berpuas hati yang tinggi dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia terutama bumiputera dan Islam.

Dari sudut parti politik, Barisan Nasional (BN), Pas dan Muafakat Nasional (MN) masih memegang kelebihan berbanding kumpulan/pakatan yang lain, sungguhpun dalam kemunculan beberapa kumpulan/pakatan/parti baharu pascapenubuhan kerajaan PN.

Rakyat melihat BN, Pas dan MN sebagai alternatif sebenar berpijak di bumi yang nyata, memahami isi hati dan kehendak rakyat serta bersifat membumi.

Bagaimanapun, populariti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tidak setanding kedudukan Presidennya. Mungkin kerana bayangan PH dengan kegagalannya masih melekat sungguhpun parti itu telah ‘memufarakahkan’ dirinya.

Proses neutralisasi mungkin mengambil masa dan pada masa yang sama mereka tidak boleh mendabik dada sebagai pahlawan tunggal, sebaliknya ia adalah dokongan dan sokongan yang diberikan secara bersama.

Bersatu mahupun Perdana Menteri tidak boleh rasa selesa dengan kedudukan kajian itu. Malah, UMNO dan BN serta MN juga tidak boleh melihat perkara itu sebagai satu kelebihan dan lalai.

Sebaliknya, semua perlu turun ke bawah bersama bergandingan tangan memahami dan merasai segala isu rakyat dalam menghadapi suasana getir.

Dengan cara itu, barulah kita betul-betul memiliki fundamental perjuangan. Keikhlasan berjuang yang mengatasi segala kepentingan peribadi adalah asas sebenar pemilihan rakyat untuk mengetuai mereka, bukan dengan hanya bergantung sepenuhnya kepada nombor di hujung kiraan statistik semata-mata.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia