Skuad berbasikal Para raih empat slot ke Paralimpik Tokyo 2020

Sukan Paralimpik Tokyo 2020
Sukan Paralimpik Tokyo 2020
A
A
A

SKUAD berbasikal Para negara menerima tiga slot acara lelaki dan satu acara wanita pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September tahun depan.

Penyelaras pasukan, Kamarul Aizad Othman berkata slot berkenaan diberikan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kepada skuad berbasikal Para negara yang mempamerkan persembahan cemerlang dalam beberapa kejohanan kelayakan Paralimpik tahun lepas.

Katanya, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan memutuskan senarai akhir pelumba ke Tokyo sebelum tarikh akhir iaitu pada Jun tahun depan.

"Kriteria pemilihan ke Tokyo dikira berdasarkan catatan masa pelumba berkenaan, terutamanya dalam acara berbasikal trek.

"Kita mengharapkan skuad pecut berpasukan lelaki negara dapat menghadirkan kilauan pingat di Tokyo nanti memandangkan mereka meraih kedudukan kelima pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Milton, Kanada, awal tahun ini," katanya baru-baru ini.

Kamarul Aizad berkata, seramai enam pelumba iaitu empat lelaki dan dua wanita kini diletakkan di bawah Program Road to Tokyo (RTT).

Mereka ialah Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Mohd Najib Turano, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hafiz Jamali manakala pelumba wanita pula ialah Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nur Suraya Muhammad Zamri.

Kamarul Aizad menjelaskan skuad berbasikal trek menjalani latihan intensif di Velodrom Nasional, Nilai manakala skuad lebuh raya Para di sekitar Putrajaya sejak Jun lalu sebagai persiapan ke Sukan Paralimpik Tokyo.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan terus berlatih dalam negara memandangkan Majlis Sukan Negara mahu mengurangkan perbelanjaan pasukan.

"Skuad berbasikal lebuh raya dijangka menyertai dua kejohanan Piala Dunia pada tahun depan sebagai persiapan ke Paralimpik Tokyo namun UCI masih belum menetapkan venue serta tarikh kejohanan,” katanya.

Pada Sukan Paralimpik Rio 2016, skuad negara diwakili oleh Afiq Afify Rizan serta jurumudi, Faizal Mohd Noh dan Mohd Khairul Hazwan Wahab serta jurumudi Muhamad Rauf Nur Misbah, masing-masing dalam acara ujian masa 1km individu dan lebuh raya, namun mereka gagal di pusingan awal.