'Saya tidak dikelirukan oleh Rizal Mansor'

Rosmah (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambung perbicaraan kesnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. - Foto Bernama
Rosmah (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambung perbicaraan kesnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang perunding memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak dikelirukan oleh Datuk Rizal Mansor semasa bekas pembantu Datin Rosmah Mansor itu meminta beliau menyediakan perjanjian perundingan bagi projek tenaga solar hibrid untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Rosmah iaitu Datuk Jagjit Singh, perunding berkenaan, Tee Kien Moon, 51, yang juga dikenali sebagai Lawrence berkata, tingkah laku Rizal nampak konsisten sejak dari mula semasa Rizal meminta Kien Moon menyediakan perjanjian itu.

Saksi pendakwaan ke-20 itu bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti sama ada Rosmah memainkan peranan dalam mengarahkan penyediaan perjanjian itu.

Kien Moon berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan Rosmah, 68, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Dalam keterangannya semalam, Kien Moon yang dilantik sebagai perunding bagi sebuah syarikat di Vietnam pada tahun 2016 memberitahu mahkamah bahawa dia dimaklumkan oleh Rizal pada Mei 2016 bahawa dia perlu menyediakan satu perjanjian perundingan bagi projek membekal dan memasang panel solar kepada lebih 300 sekolah di Sarawak.

Saksi itu berkata, Rizal memberitahunya bahawa dia (Kien Moon) perlu menyediakan perjanjian perundingan kerana ‘Mem' yang kemudiannya disahkan sebagai Rosmah, mahukan dia berbuat demikian, dan beliau memenuhi permintaan Rizal itu kerana Rizal adalah pegawai khas Rosmah.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan balas sama ada beliau menerima pembayaran daripada perjanjian yang disediakannya, Kien Moon yang juga seorang ahli perniagaan berkata, beliau tidak menerima sebarang pembayaran. - Bernama