Pengusaha bas serah memorandum kepada kerajaan negeri

Thiaga (tiga kiri) menyerahkan memorandum untuk tindakan kerajaan negeri kepada Samsudin di pintu masuk Bangunan Dato' Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Thiaga (tiga kiri) menyerahkan memorandum untuk tindakan kerajaan negeri kepada Samsudin di pintu masuk Bangunan Dato' Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor hari ini menghantar memorandum kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan beberapa masalah dihadapi mereka.

Memorandum tersebut diserahkan Pengerusinya, R Thiaga kepada Pegawai Khas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri iaitu Samsudin Ismail di Bangunan Dato' Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Thiaga berkata, antara kandungan memorandum itu berkenaan isu pinjaman kredit kenderaan, isu tambang bas sekolah dan kadar sewaannya, pemberhentian pekerja dalam Industri pengangkutan bas serta isu pengoperasian kenderaan haram.

Katanya, ini termasuk isu tender kerajaan negeri kepada pengusaha tempatan, isu parkir perkhidmatan awam bas di kawasan perumahan dan peluang pengiklanan badan kenderaan.

Beliau berkata, antara isu yang paling serius, memberi tekanan dan membebankan adalah pinjaman peribadi dilakukan segelintir pengusaha bas daripada syarikat wang tanpa berlesen yang tidak melaksanakan moratorium.

"Pendapatan pengusaha bas sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19) serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terjejas teruk. Ini mengakibatkan kami tidak dapat membayar pinjaman peribadi.

"Sehingga kini lebih 15 kenderaan yang sudah ditarik sehingga mendesak kita menamatkan operasi. Ada yang terpaksa membayar harga sebuah bas RM8,000 sebulan. Ada antara mereka kini ketakutan kerana diganggu syarikat peminjam wang tidak berlesen," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Beliau berkata demikian bagi mewakili lebih 60 pengusaha dan pemandu bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja yang bernaung di bawah pertubuhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Thiaga berkata, disebabkan tidak mampu membayar pinjaman, ramai yang terpaksa menggadai barang-barang berharga selepas wang simpanan kehabisan.

Menurutnya, punca utama mereka terpaksa meminjam wang syarikat tidak berlesen adalah kerana permohonan pinjaman daripada institusi kewangan ditolak.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan keadaan pulih sedikit selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan tetapi syarikat pelancongan pula 'membuang harga' dengan menawarkan bayaran yang hampir 50 peratus rendah daripada tambang asal.

"Sebagai contoh, harga membawa seorang pelancong pergi balik dari Johor Bahru ke Genting Highlands kini hanya RM60 hingga RM75, sedangkan dahulu harga bagi perkhidmatan tersebut adalah RM120," katanya.

Pihaknya berharap ada sokongan dan bantuan yang sesuai dapat diberikan dalam usaha meringankan beban pengusaha nas mahu pun pemandu sekali gus membantu merangsang ekonomi mereka.

Sementara itu, Samsudin berkata, beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Mohd Solihan.