4 kluster sebagai strategi jaminan keselamatan makanan negara

Muhyiddin bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKKDSMN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan mesyuarat pertama kalinya di sini hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, JKKDSMN ditubuhkan susulan impak Covid-19 yang bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur.

“Sebanyak lima kertas kerja merangkumi strategi untuk memperkukuh sektor agro makanan negara berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import telah dibincangkan.

“Perkara lain yang turut dibentangkan ialah strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan bagi memaksimumkan sumber sedia ada,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Mesyuarat turut memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara yang disarankan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mewujudkan empat kluster di bawah tiga kementerian dan satu agensi.

Kluster tersebut ialah Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kluster lain ialah Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Keempat-empat kluster ini akan berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan dan pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

“Penubuhan JKKDSMN ini diharapkan dapat memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agro makanan ke tahap yang lebih baik, sekali gus memastikan bekalan makanan terjamin,” kata kenyataan itu.

Sebanyak 11 ahli tetap akan menganggotai jawatankuasa itu terdiri daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan; Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Menteri Kesihatan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Luar Bandar; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Tugas-Tugas Khas dan Gabenor Bank Negara yang merupakan ahli jemputan.

Jawatankuasa turut dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang akan menyelaras cadangan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan Jawatankuasa Kabinet.