X

Kindly register in order to view this article
!

Kes tipu jual beli perabot dalam talian rekod kerugian RM53,906

PDRM
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 27 laporan berkaitan penipuan penjualan perabot secara dalam talian yang membabitkan kerugian mencecah RM53,906 tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan mendapati kes penipuan itu disebabkan harga yang ditawarkan secara dalam talian lebih murah selain dijanjikan penghantaran yang cepat.

Beliau berkata, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih lagi berkuat kuasa, masih ramai rakyat Malaysia yang gemar melakukan pembelian secara dalam talian.

"Kelonggaran sistem pengiklanan dalam media sosial seperti Facebook juga menyumbang kepada kes penipuan penjualan perabot ini di mana penjual tidak perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Modus operandi suspek dalam kes penipuan ini ialah dengan mengiklankan penjualan perabot melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain aplikasi. Setelah melakukan pengiklanan terbabit, mangsa akan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum diberikan akaun bank milik keldai akaun bagi melakukan pembayaran," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Zainuddin berkata, setelah pembayaran dilakukan, suspek bagaimanapun gagal dihubungi serta akses media sosial itu disekat dan mangsa tidak menerima barangan yang dibeli.

Menurutnya, kebanyakan gambar perabot yang dimuat naik dalam iklan terbabit juga sebenarnya diambil dari laman internet.

"Selain itu, bagi meyakinkan mangsa, suspek akan memberikan 'tracking number' penghantaran barangan yang sebenarnya adalah barangan lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang melakukan aktiviti penipuan berkenaan.

Pada masa sama, katanya, polis akan mengadakan langkah-langkah pencegahan dengan menyebarkan informasi kepada orang ramai melalui hebahan media surat khabar, televisyen dan media sosial.

"Pengguna dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu berkenaan barang yang dijual di internet. Selain itu, pembeli hendaklah membuat semakan akaun penerima dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran kepada mereka di Portal ‘Semakmule’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan laman web http://biztrust.ssm.com.my," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!