Dua keldai akaun kes pinjaman tidak wujud diberkas

Dua lelaki disyaki terlibat sebagai keldai akaun untuk kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Klang. (Gambar hiasan 123RF)
Dua lelaki disyaki terlibat sebagai keldai akaun untuk kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Klang. (Gambar hiasan 123RF)
A
A
A

KLANG - Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat sebagai keldai akaun untuk kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud dalam dua tangkapan berasingan di sekitar daerah ini sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 26 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Penahanan kedua-dua suspek ini susulan mangsa seorang wanita yang terpedaya dengan iklan pinjaman peribadi di internet pada 23 November tahun lalu.

"Dalam kejadian itu, mangsa telah mengisi butiran peribadi dalam pautan iklan terbabit sebelum dihubungi menerusi pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki dengan tawaran pinjaman sebanyak RM100,000.

"Mangsa kemudian telah diarahkan untuk membuat bayaran proses pinjaman untuk meluluskan pinjaman tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Nurulhuda Mohd Salleh
Nurulhuda Mohd Salleh

Beliau berkata, susulan itu, mangsa telah membuat pembayaran ke dalam dua akaun berjumlah RM27,600 sebelum menyedari dirinya tertipu apabila wang pinjaman yang ditawarkan tidak diperoleh.

Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan helah yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, orang ramai juga perlu membuat semakan secara terperinci sebelum melakukan apa-apa transaksi dan pembayaran.

"Orang ramai boleh membuat semakan melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun itu pernah disiasat atau sebaliknya," katanya.