Industri perikanan negara kekurangan golongan muda

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

TANGKAK – Industri perikanan negara kini menghadapi cabaran kekurangan golongan muda dalam industri tersebut sehingga menyebabkan pemilik bot lebih gemar menggaji awak-awak warga asing bagi membantu mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, justeru kementeriannya sedang merencana pelbagai pendekatan dalam usaha memodenkan industri perikanan bagi menarik lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam industri berkenaan.

“Cabaran masa kini adalah awak-awak kita kebanyakannya warga asing dan ini adalah masalah besar yang sering kita hadapi, justeru kementerian akan melihat perkara ini secara serius supaya anak-anak muda boleh ceburi bidang perikanan ini.

“Antara perkara yang dirancang adalah memodenkan industri perikanan supaya dapat menjamin golongan muda untuk menjadi nelayan moden. Itu harapan kita,” katanya selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra bersama nelayan Parlimen Ledang di Pengkalan Nelayan Kesang di sini, malam ini.

Turut hadir Adun Serom, Dr Faizul Amri Adnan: Adun Pemanis, Dr Chong Fat Full dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Untong Keri.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram berkata, golongan nelayan disarankan melakukan kerja alternatif seperti melibatkan diri dalam bidang akuakultur sebagai sumber pendapatan tambahan supaya dapat meningkatkan taraf hidup.

“Kita akan melihat secara spesifik pada nelayan yang berminat untuk menceburi bidang ini kerana ianya mempunyai potensi yang sangat besar dan pasarannya bukan sekadar tempatan bahkan menembusi pasaran luar negara.

“Kementerian akan membantu mereka termasuk dari segi kepakaran, latihan dan bantuan modal yang bakal dibincangkan bersama Agro Bank untuk mereka memulakan bidang baru ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, dalam sesi dialog bersama nelayan Parlimen Ledang, isu persempadanan negeri antara Johor dan Melaka antara isu yang di ketengahkan nelayan adalah dan mendakwa Jabatan Perikanan Melaka sering menahan mereka daripada meneruskan aktiviti mencari hasil di laut.

“Saya akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengenai hal ini dan perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu. Namun saya mengingatkan para nelayan agar cermat ketika melakukan aktiviti di laut.

“Kalau nelayan pun kerap sangat memasuki kawasan sempadan yang dilarang, itu juga adalah masalah. Jadi kita akan menyelesaikan masalah ini secara situasi menang-menang,” katanya.

Berdasarkan rekod LKIM, setakat ini kira-kira 125,000 nelayan berdaftar dengan LKIM di seluruh negara merangkumi tiga kategori iaitu tangkapan ikan, hiliran dan perusahaan. - Bernama