Gudang syarikat produk kesihatan terbakar

Kakitangan syarikat berkumpul di kawasan lapang sementara pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran di sebuah gudang di Jitra hari ini.
Kakitangan syarikat berkumpul di kawasan lapang sementara pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran di sebuah gudang di Jitra hari ini.
A
A
A

JITRA - Sebuah gudang dua tingkat milik sebuah syarikat produk kesihatan di Jalan Bukit Wang di sini terbakar hampir 50 peratus dalam kejadian kira- kira jam 12 tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain bagaimanapun berkata, kebakaran berkenaan tidak melibatkan mangsa dan semua 800 kakitangan sempat keluar berkumpul di kawasan lapang.

Beliau berkata, gudang terbabit menempatkan serbuk kopi, gula, krimer dan sebuah mesin memproses produk.

"Pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 12.13 tengah hari dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan.

"Ketika di lokasi, komander operasi mengarahkan pasukan bomba untuk melakukan 'attacking' serta mengamalkan konsep RECEO supaya dapat mengawal api dari terus merebak ke blok berhampiran," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kerja-kerja memadamkan api turut dibantu oleh BBP Alor Setar dan Jalan Raja serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Padang Sera, Tunjang, Kota Sarang Semut, Kuala Kedah, Taman Mutiara, Kampung Berjaya, Seberang Nyonya, Air Hitam dan Jalan Kundor.

"Kerja-kerja 'overhaul' sedang dilakukan di lokasi ketika ini dan anggaran keluasan terlibat adalah 2,200 meter persegi," katanya.

Artikel Berkaitan: